Anda di sini

Penduduk rumah panjang terputus bekalan makanan

Advertisement

HULUR BANTUAN: Anggota JPAM dan JKM menghulur bantuan makanan kepada penduduk kampung terjejas banjir.

JKM, JPAM Betong hantar bantuan kepada ratusan penduduk di tiga rumah panjang terjejas banjir itu

MALUDAM: Seramai 320 penduduk di tiga rumah panjang di sini terputus bekalan makanan sejak Sabtu lalu.

Namun bagi mengatasi masalah tersebut, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Bahagian Betong menghantar bantuan bekalan makanan kepada tiga rumah panjang yang terjejas banjir itu.

Tiga rumah panjang terbabit ialah Rumah Titty Empaga, Tanjung Baru, Rumah Gasing Sulau, Sungai Meranti dan Rumah Mensu, Sungai Daun terputus hubungan apabila air sungai naik mendadak sehingga membahayakan mereka untuk keluar ke pekan berhampiran bagi mencari bekalan makanan kerana jalan utama telah dinaiki air.

Penolong Pengarah JKM Bahagian Betong Emilda Piar Kunchui berkata pihak-nya turun padang bersama JPAM Betong bagi membantu mereka mendapatkan bekalan makanan sebaik sahaja menerima laporan semalam.

“Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka sehingga musibah yang menimpa berakhir dan bekalan makanan yang dihantar itu adalah untuk tempoh seminggu.

“Keperluan bantuan di kawasan terjejas banjir akan dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan ia dapat menampung jumlah mangsa banjir,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JPAM Betong Azamshah Apearal berkata pihaknya dimaklumkan hujan lebat tanpa henti sejak Sabtu lalu mengakibatkan air sungai melimpah ke kawasan rumah penduduk.

“JPAM Betong sudah membuat persediaan rapi bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini dan kami akan menggunakan segala pengalaman banjir sebelum ini dalam menjalankan operasi menyelamat dan pemindahan di kawasan dilanda banjir sekiranya perlu,” katanya.

Menurutnya, paras air di ketiga-tiga kawasan tersebut dijangka akan terus naik dan sekiranya keadaan bertambah teruk pihaknya akan memindahkan mereka ke pusat pemindahan di Seko-lah Menengah Kebangsaan (SMK) Beladin.

Tambahnya, dalam menghadapi bencana banjir JPAM diberi peranan menjadi kumpulan bertindak di barisan depan untuk memindah dan menghantar bekalan makanan kepada mangsa ke pusat penempatan sementara dengan menggunakan logistik yang ada.

Advertisement