Anda di sini

Melaka tuan rumah Festival Sukan Lasak Antarabangsa 2014

Advertisement

MELAKA: Melaka akan menjadi tuan rumah Festival Sukan Lasak Antarabangsa Siri Dunia 2014 (FISE) yang pertama kali diadakan di Malaysia pada September tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata sebanyak tiga disiplin sukan lasak akan dipertandingkan iaitu papan luncur, berbasikal BMX dan ‘inline skating’.

Beliau berkata daripada tiga disiplin itu sebanyak enam acara akan dipertandingkan iaitu ‘roller slopestyle’, ‘skateboard park’, ‘BMX park’, ‘Mini Ramp Spine’, ‘MTB slopestyle’ dan ‘Cable Wakeboard’.

Festival selama empat hari itu, bermula 4 September 2014, di Dataran Pahlawan di sini.

“Kita harap festival ini akan meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini di samping memberi peluang kepada anak muda kita bersaing dengan peserta dari luar negara,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata Melaka dipilih sebagai tuan rumah atas faktor kesesuaian lokasi sebagai destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.

Malaysia menjadi negara pertama di Asia yang menjadi tuan rumah FISE peringkat siri dunia selepas memenangi bidaan yang turut disertai 18 negara di seluruh dunia. — Bernama

Advertisement