Anda di sini

Malaysia yakin kembali sebagai gergasi sukan badminton dunia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan Malaysia kembali sebagai antara gergasi dalam arena badminton dunia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengorak langkah mengadakan sesi percambahan idea dengan melibatkan media sukan tempatan.

Keseriusan badan induk itu menganjurkan sesi berkenaan adalah bagi mendapatkan idea baharu untuk mempertingkatkan prestasi sukan badminton tempatan yang semakin membimbangkan.

Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff berkata informasi pencambahan idea bersama media yang diperoleh itu akan dimasukkan dalam pelan strategik badan induk itu yang akan dibentangkan pada mesyuarat Anggota Majlis BAM.

“Kita pastikan setiap idea yang diberi diuruskan dengan baik bagi program masa depan sukan badminton negara,” katanya pada forum bertajuk ‘Apa yang perlu dilakukan untuk membantu Malaysia mengembalikan kedudukan utama dalam sukan badminton’.

Tengku Mahaleel berkata, antaranya BAM perlu melihat kepada teknologi yang digunakan oleh negara lain bagi penambahbaikan sistem kejurulatihan negara.

“Reputasi pemain negara tidaklah teruk, cuma kita akui banyak kelemahan dari aspek akar umbi yang perlu diberikan penekanan,” katanya membuat rumusan forum sehari itu.

Antara wakil media tempatan yang menyertai forum tersebut ialah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Utusan, The Star, Sports 247, Astro Arena serta kumpulan Media Prima iaitu Metro Harian, Berita Harian, News Straits Times dan TV3.

Pengurus Besar Bernama, Datuk Yong Soo Heong memuji inisiatif yang dilakukan BAM itu kerana menerusi forum tersebut, badan induk itu memperoleh idea baharu untuk merangka program pembangunan sukan itu.

“Wartawan sukan tempatan mempunyai analisis tentang prestasi badminton negara menerusi liputan mereka. Idea yang diberi dapat membantu BAM dalam membuat transformasi. Kita dapat berkongsi pendapat seperti melihat semula kaedah latihan serta penekanan disiplin terhadap pemain.

“Persatuan negeri juga perlu memainkan peranan lebih gigih terutama mewujudkan pertandingan antara kelab yang boleh melahirkan bakat baharu. Penggunaan teknologi untuk latihan juga perlu diambil perhatian,” katanya yang merupakan bekas pemain badminton Pulau Pinang pada era 70-an.

Wartawan sukan News Straits Times (NST), K.M. Boopathy pula mencadangkan supaya BAM memberi tumpuan meraih pingat emas Sukan Olimpik dan kejohanan Dunia. — Bernama

Advertisement