Anda di sini

Lima laporan polis dibuat terhadap Pengarang Mingguan The Herald

Advertisement

SHAH ALAM: UMNO Bahagian Shah Alam dan Pemuda serta Puteri UMNO cawangan Kota Raja semalam membuat lima laporan polis bagi mendesak Pengarang Mingguan The Herald, Paderi Lawrence Andrew menarik balik kenyataannya tetap mahu menggunakan kalimah Allah di semua gereja di Selangor.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari berkata kenyataan paderi itu bertentangan dengan enakmen syariah negeri malah ia juga melanggar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negeri ini.

“Kami mahu paderi Lawrence tarik balik kenyataannya dalam tempoh empat hari bermula hari ini (semalam) dan jika tidak diendahkan, pihak kami akan membuat lebih banyak desakan dan laporan polis.

“Malah Sultan Selangor sendiri pun telah menitahkan bahawa kalimah Allah di Selangor hanya untuk umat Islam saja dan tindakan paderi itu juga ibarat mengingkari titah Sultan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, di sini.

Sultan Sharafuddin sebelum ini menitahkan bahawa penggunaan kalimah Allah hanya tertakluk kepada umat Islam sahaja mengikut peruntukan di dalam Jadual kepada Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang diwartakan pada 1988.

Justeru, Azhari turut mencadangkan pihak Peguam Negara untuk meneliti semula kenyataan paderi terbabit sama ada ia bertentangan dengan prosiding mahkamah berhubung isu penggunaan kalimah Allah supaya tindakan sewajarnya dapat diambil jika ia didapati menghina mahkamah.

Paderi Lawrence dalam kenyataannya yang disiarkan di laman sebuah portal pada 27 Dis lalu itu menyatakan pihaknya akan tetap menggunakan kalimah Allah di semua gereja di Selangor.

Azhari turut meminta Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Jabatan Agama Islam Selangor untuk segera mengambil tindakan selanjutnya mengikut bidang kuasa masing-masing berhubung kenyataan terbabit agar kepentingan umat Islam di negeri ini terus terpelihara.

Ketua Pemuda UMNO Kota Raja, Khusyairi Abdul Aziz pula mencadangkan paderi Lawrence untuk segera membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataannya yang dilihat mampu mengganggu keharmonian masyarakat di negeri ini. — Bernama

Advertisement