Anda di sini

Lebih 2 juta pelawat masuk melalui Miri

Advertisement

SELAMAT DATANG: Lee (tengah) mengalungkan rantai manik dan menyerahkan beg buah tangan kepada salah seorang penumpang bas sambil disaksikan tetamu kehormat yang lain di Miri semalam.

MIRI: Lebih dua juta pelawat dicatatkan menggunakan Miri sebagai pintu masuk utama ke Sarawak pada tahun lepas.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata, angka berkenaan menunjukkan peningkatan ketara yang dilaporkan saban tahun.

“Sebagimana yang kita sedia maklum, Miri merupakan salah satu pintu masuk yang sangat penting di Malaysia khasnya di Sarawak.

“Bilangan pelawat atau pelancong yang melaluinya dicatatkan bertambah setiap tahun, sehingga mencatat lebih dua juta pada tahun 2013,” jelas Lee.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 di Bilik Mesyuarat ICQ, Pusat Imigresen Sungai Tujuh, Miri di sini semalam.

Menurut Lee, lebih 20 bas pelancong melalui pintu masuk setiap minggu manakala sepanjang cuti sekolah yang lalu dicatatkan lebih 70 bas pelawat melalui pintu masuk berkenaan.

Katanya industri pelancongan amat penting kepada Miri memandangkan Miri merupakan sebuah bandar raya peranginan.

Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan agar dalam jangka panjang, kerjasama antara Brunei dan Miri dijalin bagi membolehkan Miri menarik lebih ramai pelancong.

“Kita boleh mengadakan satu promosi yang menarik di mana sekiranya mereka melancong ke Brunei mereka turut berpeluang melawat Miri.

“Pakej berkenaan bukan sahaja mampu meningkatkan bilangan pelawat atau pelancong, bahkan turut mempromosikan tempat-tempat menarik yang terdapat di kedua-dua tempat tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mempelawa para pelawat untuk berkunjung ke Miri sempena TMM 2014.

Katanya pelbagai program turut disediakan dalam kalendar acara tahunan sempena TMM tersebut.

Antaranya ialah Gong Xi Fa Cai 2014 Bazaar pada 24 Januari hingga 30 Januari ini, Miri Country Music Festival 2014 pada Februari, Miri May Fest 2014 pada Mei dan sebagainya.

Pusat Imigresen Sungai Tujuh Miri iaitu pintu sempadan darat adalah salah satu daripada 37 pintu masuk negara bagi mengalu-alukan kedatangan pelancong ke Malaysia sempena TMM 2014 yang berlangsung secara serentak di seluruh negara.

Simbolik pelancaran di sini disambut dengan persembahan paluan kompang oleh Persatuan Melayu Miri dengan kalungan rantai manik yang dikalungkan kepada para penumpang bas yang melalui pintu masuk di sini oleh tetamu kehormat.

Hadir sama semalam ialah Timbalan Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam Datuk Awang Sahak Awang Salleh, Setiausaha Bahagian, Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Saraya Arbi dan Pengarah Tourism Malaysia Brunei Darussalam Zurina Abdul Samad.

Advertisement