Anda di sini

Konsert diganggu perhimpunan haram

Advertisement

KAWAL: Sebahagian peserta-peserta perhimpunan haram cuba ditenteramkan oleh anggota polis semasa cuba memasuki kawasan pentas berhampiran Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, kelmarin. — Gambar Bernama

KECOH: Peserta-peserta Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) serta gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain menyertai perhimpunan haram menjelang Ambang Tahun Baharu 2014. — Gambar Bernama

Lebih 4,000 belia bertindak ganas rempuh barisan anggota polis untuk merampas pentas

KUALA LUMPUR: Konsert sempena menyambut tahun baharu di Dataran Merdeka terpaksa dihentikan kira-kira setengah jam sebelum detik 12 tengah malam berikutan peserta perhimpunan haram bertindak ganas merempuh barisan anggota polis untuk merampas pentas konsert itu.

Lebih 10,000 orang menyaksikan konsert yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur apabila kejadian itu berlaku.

Peserta perhimpunan itu menyerbu masuk ke pentas konsert dari segenap sudut, dengan menjerit-jerit ‘reformasi’ dan ‘turun’, dan berkumpul di hadapan pentas.

Sehingga jam 11 malam, polis menganggarkan kira-kira 4,000 peserta perhimpunan haram, kebanyakan terdiri daripada belia, berpakaian baju-T hitam berkumpul di sekitar Dataran Merdeka sejak jam 7 malam.

Konsert itu yang bermula pada jam 8.30 malam berjalan lancar sehingga sekumpulan peserta perhimpunan itu merempuh halangan polis dan menyebabkan konsert itu terganggu hingga terpaksa diberhentikan pada jam 11.30 malam.

Datuk Bandar Datuk Seri Ahmad Phesal naik ke pentas dan meminta para peserta perhimpunan haram itu supaya bertenang dan mengawal tingkah laku, menjaga ketenteraman pada majlis sambutan itu.

Mereka sebaliknya mencemuh beliau dan terus meneriakkan ‘reformasi’ dan ‘turun’, serta membaling botol air mineral ke atas pentas hingga terkena pihak media yang membuat liputan.

Kira-kira 2,000 anggota polis dan penguat kuasa DBKL mengawal pentas itu daripada diambil alih para demonstran.

Lampu-lampu di kawasan itu terus ditutup, namun para peserta perhimpunan haram tidak berganjak sebaliknya terus menjerit-jerit dan menyanyi.

Terdapat sebahagian daripada mereka menyerbu khemah jamuan untuk tetamu konsert dan mengambil makanan serta minuman yang dihidangkan.

Para penonton yang datang untuk menikmati konsert dan menyaksikan pertunjukan bunga api melahirkan rasa kecewa majlis sambutan tercemar dan terganggu oleh tindakan tidak beradap oleh peserta perhimpunan haram.

“Protes haruslah disampaikan mengikut saluran betul, bukan dengan cara menyusahkan orang ramai,” kata pegawai bank Mohamad Hamdan Anas, 34.

Beliau berkata jika pelancong melihat keadaan itu, apa pandangan mereka, tentu mereka ingat Malaysia tidak aman.

Kerani swasta Noraini Azman, 28, berkata: “Saya, suami dan anak-anak datang untuk meraikan tahun baharu dan melihat kemeriahan sambutan. Saya kesal tidak dapat menikmati konsert kerana diganggu oleh pekikan peserta perhimpunan haram”.

Walaupun terdapat pertunjukan bunga api tepat jam 12 tengah malam, para penonton agak kecewa apabila kiraan detik 12 tengah malam untuk melangkah ke tahun 2014 dibatalkan akibat kekecohan yang berlaku.

Menurut polis, empat badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram itu, iaitu Gerakan Turun Kos Sara Hidup, Solidarity Mahasiswa Malaysia (SMM), Jingga 13 dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Hampir 2,000 laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak di seluruh negara yang khuatir perhimpunan haram itu akan menimbulkan huru-hara dan digunakan oleh pihak yang ingin menggulingkan kerajaan secara tidak demokratik.

Keempat-empat NGO itu bagaimanapun menafikan perhimpunan haram itu bertujuan menggulingkan kerajaan.

Turut kelihatan di kawasan berhampiran ialah pemimpin politik pembangkang termasuk Naib Presiden PAS Salahudin Ayub dan Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.

Penyokong PAS dilihat berkumpul di persimpangan Jalan Parlimen-Jalan Raja untuk mendengar ucapan Ahli Jawatankuasa pusat parti itu Dzulkefly Ahmad dan Salahuddin.

Salahuddin memuji peserta perhimpunan kerana berani menyertai perhimpunan haram tersebut walaupun diberi amaran oleh kerajaan.

SUARAM yang menjanjikan bantuan guaman kepada peserta yang ditahan polis turut menurunkan 10 ahlinya memantau perhimpunan itu.

Sementara itu di IPOH, perhimpunan haram membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) anjuran Angkatan Muda Keadilan Perak di Dataran Medan Stesen Ipoh di sini hanya dihadiri kira-kira 200 orang.

Perhimpunan yang berlangsung kira-kira dua jam bermula jam 9 malam itu dimulai dengan ceramah oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen pembangkang, antaranya Dr Michael Jayakumar (Parlimen Sungai Siput), Cheong Chee Khing (ADUN Bercham) dan Lee Chuan How (Pasir Pinji).

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chan Keong ketika dihubungi berkata pihaknya tidak menerima notis berhubung perhimpunan itu daripada pihak penganjur.

Di ALOR SETAR, perhimpunan haram di Dataran Balai Besar di sini yang bermula jam 10 malam disertai kira-kira 500 orang termasuk beberapa pemimpin PAS, antaranya Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar dan ADUN Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah.

Perhimpunan selama dua jam, yang berakhir 12 tengah malam itu dikawal ketat oleh anggota polis. Tiada kejadian tidak diingini dilapor. — Bernama

Advertisement