Anda di sini

Kerajaan perlu tegas kuat kuasa undang-undang: MCPF

Advertisement

Gejala sosial yang menyelubungi belia membimbangkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu tegas dalam menguatkuasakan undang-undang demi kepentingan undang-undang dan ketenteraman awam serta pencegahan jenayah, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata undang-undang bukan sahaja perlu dikuatkuasakan tetapi juga perlu dilaksanakan tanpa rasa takut dan pilih kasih.

“Jika peningkatan kadar jenayah adalah sebahagian daripada harga pembangunan, dengan itu kita perlu menangani aspek negatif pembangunan ini.

“Kebimbangan utama kita ialah mengenai kemunculan banyak gejala sosial yang menyelubungi golongan belia dan remaja kita,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Bagaimanapun, Lee berkata dalam usaha memerangi jenayah, ia bukan hanya mengenai meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan kecekapan polis, tetapi juga menangani pelbagai gejala sosial yang menjadi punca jenayah.

Lee berkata punca gejala sosial seperti penagihan dadah dan pornografi terletak pada hakikat berlakunya keruntuhan moral yang serius dalam kalangan generasi muda kini dan ditambah dengan sikap ibu bapa yang kurang memberi tunjuk ajar serta tiada kemahiran keibubapaan.

Katanya, lagipun pembangunan pesat ekonomi negara dan teknologi tidak sepadan dengan pembangunan moral dan kemanusiaan.

“Tiada siapa dapat menafikan kepentingan Teknologi Maklumat dan Komunikasi  (ICT) dalam era maklumat ini tetapi pada masa yang sama kita perlu sedar akan keperluan untuk menggalakkan pemupukan moral dan nilai-nilai yang perlu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang benar-benar maju,” katanya. — Bernama

Advertisement