Anda di sini

Kampung Pahlawan cipta kejutan

Advertisement

KAMI JUARA: Pasukan Masjid Kampung Pahlawan bersama hadiah kemenangan masing-masing.

Muncul juara Kejohanan Bola Sepak Remaja Masjid dan Surau daerah Limbang

LIMBANG: Turun selaku pasukan bukan pilihan, pasukan Masjid Kampung Pahlawan mencipta kejutan apabila menjuarai Kejohanan Bola Sepak Remaja Masjid dan Surau Daerah di Komplek Sukan Limbang di sini.

Selaku juara pasukan Masjid Kampung Pahlawan membawa pulang wang tunai RM1,500 dan piala pusingan manakala pasukan Tegarai selaku naib juara memenangi RM1,000 dan piala.

Sementara itu, pasukan Bunga Raya dan Kampung Lubuk Piasau terpaksa berkongsi kedudukan di tangga ketiga.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah.

Dalam pada itu, Hasbi yakin kejohanan itu mampu menjadi landasan untuk menarik golongan belia ke masjid selain memeriahkan rumah ibadat dengan pelbagai program keagamaan serta aktiviti sihat.

Beliau berkata, masjid dan surau mempunyai peranan lebih luas bukan sahaja sebagai rumah ibadat tetapi pusat pendidikan dan kesukanan.

Jelasnya, melalui sukan bola sepak ia juga dapat menangkis golongan remaja daripada terjebak dengan gejala sosial yang boleh merosakkan akidah mereka.

“Dengan adanya program ini, merupakan pendekatan terbaik untuk mendekatkan belia dengan masjid dan surau.

“Pada masa yang sama, rumah ibadah ini boleh dimanfaatkan sebagai pusat keagamaan, pendidikan, kesukanan dan aktiviti yang boleh memajukan masyarakat Islam keseluruhannya,” katanya.

Sebanyak 20 pasukan menyertai kejohanan yang berlangsung selama dua hari anjuran Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Daerah Lim bang, Pejabat Agama Islam Bahagian Limbang dan Surau Dayang Hajah Rauyah Kampung Batu Bakarang Limbang.

Pertandingan itu untuk menggalakkan para belia dan remaja aktif bersukan serta membudayakan amalan kesihatan dari segi fizikal, mental, rohani dan jasmani.

Pada masa sama, mendedahkan kumpulan sasar tentang peranan masjid dan surau bukan sekadar institusi keagamaan.

Advertisement