Anda di sini

Johor perlu tambahan 16,000 bilik hotel menjelang 2017

Advertisement

JOHOR BAHARU: Johor memerlukan tambahan hampir 16,000 bilik penginapan bagi menampung peningkatan pelancong dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri Datuk Tee Siew Kiong berkata berdasarkan ke-adaan semasa, Johor dianggar memerlukan 11,550 bilik hotel bertaraf tiga hingga lima bintang dan 4,350 bilik hotel bajet menjelang 2017.

“Ketika ini Johor hanya memiliki 14,450 bilik hotel bertaraf satu hingga lima bintang,” katanya selepas Majlis Sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014 di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan JB Sentral, semalam.

Beliau berkata penambahan bilik penginapan itu selari dengan kepesatan pertumbuhan sektor pelancongan di Johor sekarang.

Ini kerana katanya Johor mempunyai keistimewaan tersendiri dengan pelbagai produk pelancongan bertaraf antarabangsa seperti Taman Tema Legoland Malaysia di Nusajaya yang menarik tiga juta pelawat selepas setahun berope-rasi.

Menurut Tee, sehingga Oktober lepas Johor menerima 19.8 juta pelawat menerusi 14 pintu masuknya.

Acara sambutan khas semalam adalah bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014 bagi mengalu-alukan kedatangan pelancong ke negara ini melalui pintu masuk di Johor.

Antara pintu masuk yang terlibat dengan sambutan itu ialah BSI dan JB Sentral, Kompleks Sultan Abu Bakar, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour dan Terminal Feri Tanjung Belungkor.

Turut hadir Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Johor Mohammad Isa Abdul Halim serta Pengarah Jabatan Pelancongan Johor Mohd Haffiz Ahmad. — Bernama

Advertisement