Anda di sini

Jerayawara diadakan untuk galak Cina menyertai tentera

Advertisement

PROMOSI: Ling (tiga kiri) bersama ahli-ahli PVTMS yang lain ketika sidang media mengenai program jerayawara UPNM dan MTD.

SIBU: Bagi menggalakkan penyertaan anak watan Sarawak khususnya daripada kaum Cina menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), satu jerayawara akan diadakan bagi memperkenalkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Maktab Tentera Diraja Diraja (MTD).

Program ini dianjurkan oleh Markas ATM Bahagian Perkhidmatan Anggota Cawangan Tenaga Kerja dengan kerjasama Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS), Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia (PBTLDM) Sarawak bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina di sini.

Presiden PVTMS Thomas Ling Kui Eng berkata, program jerayawara ini bagi menyahut seruan bekas Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar lebih ramai anak watan Sarawak khususnya kaum Cina menyertai ATM.

“Program ini bagi mendaftar kemasukan pelajar lepasan SPM dan STPM ke UPNM pada pertengahan bulan Januari ini sementara lepasan PMR ke MTD yang akan dibuka pada bulan Ogos depan,” ujarnya pada satu sidang media, baru-baru ini.

Ini merupakan kali ketiga kedua-dua persatuan bersama-sama Gabungan Persatuan Cina Bahagian Sibu (UCA) menganjurkan program seperti ini.

“Pada tahun 2011, program berkenaan dijalankan di Sibu, Bintulu dan Miri sementara pada 2012 di Sibu dan Miri.

“Pada tahun ini (2014), program akan diadakan di Sibu dan Sri Aman, selain di Kuching dan Kapit pada bulan Julai nanti,” jelas Ling sambil memberitahu bahawa program juga bertujuan meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda dan mendedahkan peluang-peluang kerjaya dalam ATM.

Yang Dipertua PBTLDM itu juga menyeru semua ibu bapa, guru dan pelajar serta para veteran tentera yang mempunyai anak yang berkelayakan khususnya di Sibu dan Sri Aman agar menghadiri Program Jerayawara UPNM dan MTD yang akan diadakan pada tarikh, masa dan tempat yang telah ditetapkan.

Di Sibu, program akan diadakan pada 11 Januari ini di Dewan UCA, Jalan Alan, bermula jam 9 pagi.

Sementara di Sri Aman, program akan diadakan di Dewan Persatuan Foochow, Main Bazaar pada 12 Januari, bermula jam 9 pagi.

Bagi para pelajar yang berada di luar daerah, bolehlah mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui laman web www.upnm.edu.my (UPNM) atau www.rmc.edu.my (MTD).

Difahamkan bahawa seramai lebih kurang 18,000 permohonan untuk kemasukan ke UPNM, tetapi hanya 505 calon sahaja yang berjaya dipilih pada 2013.

Dalam jumlah calon yang terpilih itu, bilangan anak watan Sarawak yang terpilih adalah terlalu sedikit nisbahnya berbanding dengan negeri-negeri lain.

“Oleh yang demikian, persatuan menyeru kepada anak-anak watan Sarawak untuk memberi perhatian dalam memilih UPNM sebagai pilihan pertama sebagai institusi untuk melanjutkan pelajaran.

“Ini kerana terdapat pelbagai kemudahan-kemudahan yang menarik ditawarkan oleh UPNM, bidang pengkhususan dalam bidang ketenteraan yang eksklusif dan dinamik serta jaminan untuk mendapat pekerjaan selepas graduasi,” ujar Ling.

Advertisement