Anda di sini

Empat lelaki sesat di hutan pinggir sempadan ditemui selamat

Advertisement

SELAMAT: Che Man (kanan) bertanyakan sesuatu kepada remaja yang sesat di dalam hutan simpan FELDA Mata Air dekat Padang Besar, malam semalam. — Gambar Bernama

PADANG BESAR: Empat lelaki yang sesat dalam hutan tebal di pinggir sempadan Malaysia-Thailand semalam semasa mencari madu kelulut ditemui selamat awal pagi kelmarin.

Mereka yang berumur antara 22 dan 27 tahun itu ditemui di kawasan hutan itu kira-kira jam 12.30 tengah malam kelmarin selepas gerakan mencari dilancarkan oleh polis dengan kerjasama Pasukan Gerak Am (PGA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta penduduk tempatan.

Keempat-empat lelaki berkenaan, yang merupakan penduduk FELDA Mata Ayer, iaitu Shahar Azizan, 27, Zulhelmi Johari, 27, Roshazizul Hassan, 26 dan Mohd Fazil Mohd Akhir, 22, menemui jalan keluar daripada hutan itu selepas ternampak cahaya lampu kenderaan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang melakukan rondaan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Che Man Md Dros berkata, berpandukan cahaya itu, mereka keluar daripada kawasan itu kira-kira setengah jam selepas rakyat Malaysia menyambut ambang merdeka.

Menurutnya, berdasarkan temu bual dengan kesemua mangsa, mereka memasuki hutan tebal itu kira-kira jam 5.30 petang tanpa membawa lampu suluh dan selepas kira-kira sejam berada di hutan itu, mereka kehilangan arah untuk pulang kerana hari mulai gelap.

Walaupun hutan itu tidak jauh daripada perkampungan FELDA Mata Ayer namun mereka gagal menemui laluan untuk keluar daripada hutan itu.

Bagaimanapun seorang daripada mereka yang membawa telefon bimbit dapat menghubungi rakan dan memaklumkan bahawa mereka telah sesat.

Che Man berkata, pihaknya mengatur gerakan mencari dan menyelamat dengan membentuk dua kumpulan pencari dengan dibantu anggota- anggota PGA, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk kampung sebaik menerima laporan kes itu.

Katanya, kesemua mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan. — Bernama

Advertisement