Anda di sini

Ahli politik gusar, dakwa terima ancaman bunuh kerana bantu tuntut NCR

Advertisement

SIBU: Seorang ahli politik di sini gusar selepas mendakwa menerima ancaman bunuh kerana membantu kumpulan Iban untuk menuntut kembali tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka yang didakwa diceroboh orang luar.

Moh Hiong Raja, yang bertanding di bawah Parti Reformasi Sarawak (STAR) bagi kerusi Bukit Assek pada Pilihan Raya Negeri 2016 ketika bercakap pada sidang akhbar petang semalam berkata, beliau menerima panggilan daripada pemanggil yang tidak dikenali pada jam 3.54 petang Rabu lalu.

“Beliau berkata, jika saya terus membantu masyarakat Iban di sana, maka maut menanti (dan) saya dalam bahaya atau kehilangan anggota badan,” katanya.

Moh mengesyaki ancaman itu dibuat oleh pihak yang tidak puas hati terhadapnya kerana membantu kumpulan Iban terbabit mengambil kembali tanah mereka yang telah diceroboh sebuah syarikat baru-baru ini.

“Seorang bekas YB (yang saya tidak akan sebut nama) sebelum ini telah mengancam untuk menembak kaum Iban di sana dan telah pun menggunakan khidmat samseng untuk mengancam kaum Iban di sana selama beberapa tahun.

“Kaum Iban di sana baru-baru ini telah membuat laporan polis mengenai ancaman ini,” katanya.

Moh menambah, kaum Iban di sana telah membuat laporan polis sejak 1998 bahawa tanah mereka telah diceroboh oleh syarikat berkenaan.

Beliau percaya polis akan meneliti perkara itu dengan serius dan memberikan perlindungan kepadanya.

“Polis perlu bersikap adil dan menyiasat kes ini secara terperinci,” katanya.

Advertisement