Anda di sini

Polis kenal pasti 19 Parlimen, 31 DUN kawasan panas di Perak

Advertisement
 Hasnan menunjukkan borang permohonan permit untuk calon membuat ceramah pada musim kempen sempena Pilihan Raya Umum ke-14, ketika sidang media berkenaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK), Ipoh semalam. — Gambar Bernama
PERMIT: Hasnan menunjukkan borang permohonan permit untuk calon membuat ceramah pada musim kempen sempena Pilihan Raya Umum ke-14, ketika sidang media berkenaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK), Ipoh semalam. — Gambar Bernama

IPOH: Sehingga kini, polis Perak mengenal pasti 19 Parlimen dan 31 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai kawasan panas di Perak untuk dipantau supaya tidak timbul sebarang ancaman kepada ketenteraman awam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Polis Negeri Datuk Hasnan Hassan berkata daripada jumlah itu, lima daerah dianggap paling panas dan pihaknya akan memantau dengan teliti supaya tidak berlaku kekacauan. Bagaimanapun beliau enggan menamakan kawasan paling panas itu.

Dalam pada itu, beliau berkata sebelum hari penamaan calon, kesemua ketua polis daerah di 15 daerah di negeri ini akan mengadakan perjumpaan bersama bakal calon, ejen, pencadang dan penyokong bagi meletakkan satu peraturan ke dewan penamaan calon.

“Ini bagi mengelakkan pertembungan berlaku di dewan-dewan penamaan calon. Pada hari penamaan calon pula, penyokong parti yang bertanding diminta untuk mengikut aturan atau arahan yang telah dipersetujui selain tidak mengadakan perarakan sebelum atau selepas penamaan calon,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) di sini semalam.

Beliau juga meminta agar calon atau ejen parti memohon permit terlebih dahulu daripada Ketua Polis Daerah Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum mengadakan ceramah semasa tempoh berkempen nanti kerana ceramah politik yang diadakan tanpa permit adalah salah mengikut Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sementara itu, Hasnan mengingatkan agar semua bendera, sepanduk, risalah dan poster tidak mengandungi sebarang unsur-unsur yang berkecenderungan menghasut, mengaibkan serta berkemungkinan menimbulkan ketegangan atau gangguan kepada ketenteraman awam.

Beliau juga mengingatkan kesemua parti politik yang bertanding supaya mengelak mengadakan ceramah atau berkempen di kawasan berdekatan parti politik yang lain bagi mengelak ketegangan atau pergaduhan berlaku.

“Keutamaan pihak polis adalah untuk memastikan keselamatan orang ramai terjamin  ketika tempoh berkempen dan seterusnya dapat mengundi tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Katanya, 24 pusat penamaan calon dengan pengundi seramai lebih 1.1 juta akan mengundi di 778 pusat mengundi di seluruh negeri Perak.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRU14 pada 9 Mei, tarikh penamaan calon 28 April, manakala tarikh pengundian awal 5 Mei. — Bernama

Advertisement