Anda di sini

Jared Leto jelajah AS untuk promosi album baharu

Advertisement
JARED LETO
JARED LETO

LOS ANGELES: Ia ternyata perjalanan “pesawat, kereta api dan automobil” yang gila bagi pelakon yang memenangi anugerah Oscar dan penyanyi kumpulan ‘Thirty Seconds to Mars’ Jared Leto untuk mempromosikan album terbaharu kumpulannya dengan jelajah merentas negara selama lima hari dari New York ke Los Angeles.

Leto menumpang kereta orang dalam keadaan hujan dan menaiki sebuah bas Greyhound jarak jauh yang sesak ketika dia mempromosikan album studio kelima kumpulan rocknya ‘America’, yang dikeluarkan menerusi Interscope Records, sebuah label dalam Universal Music Group milik Vivendi SA.

Leto, 46, melakukan semua itu dan pada waktu yang sama menden-dangkan lagu-lagunya.

Dia turut mendokumenkan perjalanan hampir sejauh 4,500 kilometer itu dan berkata dia menggunakannya untuk berhubung dengan rakyat jelata Amerika di sepanjang perjalanan.

“Saya tidak pernah menggunakan perkataan kotor itu untuk diri saya sendiri – selebriti – tetapi ia sangat merendahkan hati,” kata Leto kepada Reuters.

“Dan saya rasa ia hanya mengingatkan kita bahawa semua kita saling berkaitan, bahawa semua kita ada cabaran kita, bahawa semua kita ada impian kita.”

Leto berkata perjalanan itu mengajarnya, walaupun polarisasi politik wujud sekarang di Amerika Syarikat (AS), dia menjumpai rasa tujuan yang sama di kalangan rakyat Amerika.

“Saya rasa perkara paling membuka mata sekarang, pada waktu yang begitu tidak stabil, terdapat begitu banyak rasa komuniti, begitu banyak perkara yang sama di antara kita, begitu bersatu padu,” katanya.

“Saya rasa itu akan mengejutkan orang, terutamanya jika kita tinggal di luar negara.”

Leto menambah, “Saya menyaksikan banyak kebaikan hati, banyak kemurahan hati. Ia memberi inspirasi.”

Pelakon itu, yang memenangi anugerah Oscar bagi wataknya sebagai seorang wanita transjantina yang positif HIV dalam drama ‘Dallas Buyers Club’ pada 2013, turut mengarah satu dokumentari ‘A Day in the Life of America’, di mana dia menerokai kehidupan pelbagai warga Amerika pada Hari Kemerdekaan AS, 4 Julai 2017.

Ia bukan perjalanan pertama Leto merentasi AS.

“Saya pernah melakukannya ketika saya masih budak sebagai seorang pelajar yang tercicir dari sekolah kesenian dan saya pergi ke L.A,. untuk menjadi seorang pengarah,” kata Leto, yang memperolehi peluang besar pertamanya di Hollywood dalam drama TV remaja kesukaan ramai pada pertengahan tahun 1990an ‘My So-Called Life’ sebagai lelaki pujaan yang muram di sekolah tinggi.

“Saya membawa beg galas dan beberapa ratus dolar dan ia mengubah kehidupan saya, maka itu ia menyeronokkan untuk kembali dan melakukan perjalanan itu sekali lagi,” katanya. — Reuters

Advertisement