Anda di sini

Rekod tanpa kalah Sabah lebur

Advertisement

Tumpas 3-2 kepada UKM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang


KOTA KINABALU: Rekod tanpa kalah Sabah lebur  di tangan pasukan tercorot Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) dengan kekalahan 3-2 pada saingan  Liga Premier di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Selasa.

Skuad bimbingan Jelius Ating itu gagal mempamerkan persembahan yang diharapkan sesuai dengan rekod tanpa kalah tujuh perlawanan sebelumnya (tiga menang dan empat seri) apabila gerakan-gerakannya tidak menjadi atau mudah dipatahkan pasukan tuan rumah.

UKM mendahului 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Se-In Nam pada minit ke-28.

Sabah gagal memberi respon positif terhadap gol yang membolosinya itu walaupun selepas rehat, malahan dibayangi kekalahan memalukan apabila suatu ketika ketinggalan 3-0 dengan UKM menambah dua gol lagi menerusi Se-In (minit 58) dan Kipsen Atuheire (minit 72).

Sabah menggandakan usaha selepas itu tetapi ia sudah terlewat. Dengan permainan berbaki kurang 20 minit, mereka hanya mampu menghasilkan dua gol.

Gol pertama Sabah dijaringkan penyerang utama, Hector Omar Ramos Lebron pada minit ke-75 manakala gol kedua menerusi penyerang gantian, Justin Samaan pada minit ke-82.

Keputusan itu menyaksikan Sabah turun satu tangga lagi ke kedudukan keempat dengan 13 mata iaitu satu mata di bawah Felcra FC dan Sarawak yang masing-masing telah mengumpul 14 mata di tangga kedua dan ketiga manakala tangga teratas carta liga membabitkan 12 pasukan itu dikuasai Felda United dengan 20 mata.

Sambil itu, ia adalah kemenangan kedua buat UKM untuk naik satu tangga ke kedudukan ke-11 dengan enam mata.

Sabah akan meneruskan cabaran menentang Pulau Pinang juga di tempat lawan pada 28 April.

 
  • oleh
  • Advertisement