Anda di sini

Polis Johor rampas dadah RM101,000 di Iskandar Puteri

Advertisement
 Lukas (dua, kanan) menunjukkan dadah jenis ganja mampat yang dirampas dalam satu serbuan pada Khamis lepas di sekitar Iskandar Puteri pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor semalam. — Gambar Bernama
HASIL RAMPASAN: Lukas (dua, kanan) menunjukkan dadah jenis ganja mampat yang dirampas dalam satu serbuan pada Khamis lepas di sekitar Iskandar Puteri pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Polis Johor merampas dadah pelbagai jenis termasuk ganja, heroin dan syabu bernilai RM101,000 dalam satu serbuan di Iskandar Puteri, dekat sini, Khamis lalu (19 April).

Ketua Jabatan  Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor ACP Lukas Aket berkata seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun yang dipercayai penjual dadah, turut ditahan dalam serbuan berkenaan.

“Pihak JSJN telah melakukan serbuan bermula pada jam 5 petang hingga 7 petang di sekitar kawasan Iskandar Puteri. Serbuan dilakukan terhadap sebuah kenderaan kereta jenis Toyota Vios yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil siasatan lanjut anggota kita telah menemukan 25 bungkusan seberat 26 kilogram (kg) dadah disyaki ganja, 1.3kg dadah jenis heroin dan 250 gram dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM101,000,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

PIhaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM1,500 dan kereta jenis Toyota Vios.

Tambahnya, kesemua dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan sementara bekalan dadah berkenaan dipercayai datang dari utara tanah air.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan ahli-ahli (kumpulan) suspek ini. Kita juga percaya suspek telah aktif menjalankan aktiviti ini selama tiga bulan,” tambah Lukas.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis THC (ganja) serta mempunyai  rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Suspek  kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 20 April lepas untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — Bernama

Advertisement