Anda di sini

MB Johor tanding kerusi Parlimen Pasir Gudang dan DUN Permas

Advertisement
 Mohamed Khaled (depan tengah) bergambar bersama calon-calon BN Negeri Johor bagi Pilihan Raya Umum ke-14 yang diumumkan oleh beliau di Ibu Pejabat Badan Perhubungan UMNO, Jalan Yahya Awal di Johor Bahru semalam. — Gambar Bernama
TERPILIH: Mohamed Khaled (depan tengah) bergambar bersama calon-calon BN Negeri Johor bagi Pilihan Raya Umum ke-14 yang diumumkan oleh beliau di Ibu Pejabat Badan Perhubungan UMNO, Jalan Yahya Awal di Johor Bahru semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan beliau akan bertanding di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pada majlis pengumuman calon-calon BN Johor bagi PRU14 di Ibu Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini semalam, Menteri Besar berkata beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Gudang dan mempertahankan kerusi DUN Permas.

Mohamed Khaled pernah bertanding di kerusi Parlimen Pasir Gudang pada 2004 dan 2008 manakala DUN Permas pada 2013.

Beliau berkata pada PRU14, UMNO akan bertanding di 16 kerusi Parlimen dan 35 DUN, MCA (lapan Parlimen, 15 DUN), MIC (satu Parlimen, empat DUN) manakala GERAKAN (satu Parlimen, dua DUN).

“Daripada 20 kerusi Parlimen yang dimenangi oleh BN pada PRU13, seramai 15 penyandang dikekalkan, dua penyandang kerusi Parlimen Pasir Gudang dan Kota Tinggi tidak dicalonkan semula.

“Seorang  calon bertukar ke DUN dari Parlimen Sekijang ke DUN Kemelah (Anuar Abd Manap), seorang penyandang kerusi Parlimen  tidak mahu bertanding iaitu Parlimen Tebrau (Datuk Khoo Soo Seang), seorang calon berpindah dari Parlimen Tenggara ke Kota Tinggi (Datuk Halimah Mohamed Sadique),” katanya.

Mohamed Khaled berkata daripada 37 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU13, seramai 19 penyandang kekal bertanding manakala 13 penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dicalonkan semula.

Kesemua yang tidak dicalonkan semula membabitkan penyandang DUN Buloh Kasap, Pemanis, Serom, Bukit Naning, Senggarang, Layang-Layang, Endau, Panti, Penawar, Larkin (Tanjong Puteri), Kempas, Kota Iskandar (Nusajaya) dan Kukup.

Menurut Mohamed Khaled, tiga calon berpindah bertanding di Parlimen iaitu DUN Kemelah ke Parlimen Sekijang (Datuk Ayub Rahmat), DUN Pasir Raja ke Parlimen Tenggara (Datuk Seri Dr Adham Baba), DUN Bukit Kepong ke Parlimen Pagoh (Ismail Mohamed).

“Dua ADUN tidak menawarkan diri untuk bertanding iaitu DUN Parit Raja (Puan Sri Azizah Zakaria) dan DUN Johor Lama (Asiah Md Ariff).

“Dua calon yang tewas pada PRU13 akan bertan-ding semula di kawasan yang ditandingi dahulu iaitu DUN Johor Jaya (Datuk Tan Cher Puk) dan DUN Bekok (Tan Chong),” katanya.

Mohamed Khaled berkata daripada 82 calon yang bertanding di Parlimen dan DUN, seramai sembilan daripadanya merupakan calon wanita, dua orang daripada Pemuda manakala seorang daripada Puteri.

Sementara itu, antara muka baharu bagi kawasan Parlimen adalah Ketua Wanita UMNO Batu Pahat Haliza Abdullah yang akan bertanding di kerusi Parlimen Batu Pahat menggantikan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Pengerusi MCA Gelang Patah Datuk Jason Teoh Sew Hock di Parlimen Iskandar Puteri.

Bagi kerusi DUN, Ketua Pemuda Johor Hahasrin Hashim akan bertanding kerusi Panti, Ketua Wanita UMNO Johor Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (Penawar), Ketua UMNO Gelang Patah Mohammad Khairi A.Malek (Kota Iskandar), Naib Puteri UMNO Johor Nor Rashidah Ramli (Parit Raja).

Antara 15 muka lama kekal bertanding mempertahan-kan kawasan Parlimen ma-sing-masing antaranya Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong), Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abdul Samad (Johor Bahru), Timbalan Pengerusi BN Johor Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam (Segamat) dan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam), Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang).

Selain Mohd Puad yang tewas kepada PKR pada pilihan raya lepas, mereka yang digugurkan daripada senarai termasuk penyandang kerusi Parlimen Kota Tinggi Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, penyandang kerusi Parlimen Pasir Gudang yang juga Ketua Wanita UMNO Pasir Gudang Datuk Normala Abd Samad.

Pengerusi MCA Kluang yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan Gan Ping Siew pula membuat penampilan semula apabila dipilih bertanding di kerusi Parlimen Kluang.

Gan menang bertanding di DUN Mengkibol pada PRU11, namun, kalah di DUN sama pada PRU12 dan tidak dipilih bertanding pada pilihan raya lepas.

Bagai sirih pulang ke gagang, bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Adham Baba pula dipilih untuk bertanding semula di kerusi Parlimen Tenggara yang ditandingi beliau pada PRU11.

Pada PRU12 dan PRU13, Adham menang bertanding di DUN Pasir Raja. — Bernama

Advertisement