Anda di sini

Kerajaan komited perluas usaha lahir usahawan celik ekonomi digital

Advertisement

SANDAKAN: Kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian komited memperluaskan usaha ke arah melahirkan golongan usahawan tempatan yang celik ekonomi digital.

Menterinya Datuk Seri Panglima Raymond Tan Shu Kiah berkata, berikutan itu penganjuran Seminar Memperkasa Ekonomi Digital diperluaskan ke Sandakan sebagai usaha memberi pendedahan mengenai ekonomi digital kepada usahawan di daerah ini.

"Acara ini penting sebab kita dapat kenalkan Sabah dengan ekonomi digital. Bulan lalu kita telah adakan acara yang sama di Kota Kinabalu dan sekarang kita bawa mesej yang sama ke Sandakan.

"Usahawan memainkan peranan yang penting dan memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi negeri. Tetapi kini kita mahu usahawan kita melangkah ke dunia digital dan mengembangkan lagi bisnes sendiri.

"Ini bukan sahaja melibatkan usahawan yang mengeluarkan produk, tetapi juga yang menawarkan sebarang perkhidmatan. Dalam tahun ini, kita menyasarkan untuk melahirkan 1,000 usahawan digital," katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Memperkasa Ekonomi Digital di ruang legar Harbour Mall Sandakan di sini pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Datuk Hashim Paijan dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Datuk James Wong.

Pada seminar itu, seramai 300 peserta telah hadir dengan pengisian tujuh slot ceramah melibatkan penceramah dari MDEC, Softwise Sdn Bhd, Hybrid Ultimate Sdn Bhd, BIMP-EAGA ICT Cluster, NCT Group dan TM.

Raymond berharap usahawan di daerah ini akan mengambil peluang dengan beberapa rancangan yang dijalankan oleh kementeriannya terutama dalam membantu usahawan kecil-kecilan melangkah ke dunia ekonomi digital.

Beliau pasti daerah ini mempunyai usahawan yang mengeluarkan produk atau perkhidmatan yang berkualiti dan berpotensi dimajukan dengan platform digital.

RAYMOND bersama tetamu kehormat dan peserta seminar.
RAYMOND bersama tetamu kehormat dan peserta seminar.
  • oleh
  • Advertisement