Anda di sini

Jambatan Tamparuli dipentaskan

Advertisement
MASIDI (depan, dua kanan) merakamkan gambar kenangan bersama barisan pelakon (belakang) teater muzikal itu.
MASIDI (depan, dua kanan) merakamkan gambar kenangan bersama barisan pelakon (belakang) teater muzikal itu.

DALAM usaha memartabat dan mengumpulkan cerita rakyat seluruh Sabah, kini Teater Muzikal Sabah Fest membawakan lagenda Jambatan Tamparuli untuk dipertontonkan kepada umum.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata teater muzikal Jambatan Tamparuli yang menceritakkan kisah Solungkoi dengan seorang jejaka British itu akan dipentaskan pada 4 hingga 6 Mei.

"Pada tahun ini, Sabah Fest membawakan teater muzikal Solungkoi: Jambatan Tamparuli bermula jam 8 malam sepanjang penganjuran ini.

"Teater ini akan berlangsung selama tiga malam berturut-turut di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan Kesenian Negeri Sabah (JKKNS)," katanya pada sidang media Sabah Fest di Lembaga Kebudayaan Sabah (STB) pada Isnin.

Beliau berkata, Sabah Fest yang berusia 30 tahun penganjurannya sejak 1988 itu mula mengetengahkan teater muzikal berkisarkan cerita rakyat Sabah sejak 2010.

Katanya, teater muzikal 2018 yang akan dipentaskan memilih cerita Solungkoi: Jambatan Tamparuli yang menceritakan kisah cinta seorang gadis cantik dengan jurutera British bernama Robinson dan kemudiannya menjadi korban untuk pembinaan jambatan di pekan itu.

Kisah pembinaan jambatan Tamparuli oleh Robinson suatu ketika dahulu itu bertujuan menyediakan akses yang mudah dan lebih baik kepada penduduk kampung.

Namun, jambatan berkenaan sentiasa mengalami kerosakan apabila musim hujan dan banjir walaupun ia sentiasa dibaikpulih.

Selepas beberapa kali pembinaan jambatan Tamparuli itu mengalami kerosakan, penduduk kampung mula menggunakan medium 'Semangat Sungai' iaitu 'Ombuakar' untuk bertanyakan permasalahan itu.

Dengan jawapan yang tidak diduga dari Ombuakar, semangat sungai itu menuntut orang kampung agar mengorbankan seorang gadis sebagai pampasan pembinaan jambatan berkenaan.

Dalam pada itu, bermulalah cerita Solungkoi: Jambatan Tamparuli yang kini menjadi cerita rakyat sehingga sekarang.

Sementara itu, Masidi berkata pementasan Solungkoi: Jambatan Tamparuli itu menggunakan 100 peratus bahasa melayu baku yang digunakan dalam komunikasi seharian masyarakat Sabah.

Katanya, watak-watak yang menghidupkan teater itu juga menggunakan bakat tempatan Sabah seperti Hosiani Jaimis (Keewon) sebagai Solungkoi, Jayfrejoe Japrin (Intang), Dayang Hasnah Ibrahim (Odu) dan Sakinah.

Selain itu jelasnya, pementasan itu juga menggunakan tenaga orang luar yang kini tular kerana kepetahannya bertutur dalam bahasa Melayu baku iaitu Dane Kovacs (Orang Putih Kita) sebagai Robinson.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkenaan Solungkoi: Jambatan Tamparuli melalui laman sesawang www.hellosabah.my.

  • oleh
  • Advertisement