Anda di sini

Ismail tidak gentar menentang bekas mentor Muhyiddin Yassin

Advertisement

JOHOR BAHRU: Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh Ismail Mohamed tidak gentar untuk menentang bekas mentornya yang kini Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin di kerusi Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ismail, 47, berkata keyakinannya berdasarkan pada kata-kata azimat yang menjadi pegangannya ‘pantang ber-undur sebelum berjuang’.

Menurutnya, peluang ‘bersemuka’ dengan bekas timbalan presiden UMNO dan penyandang kerusi Parlimen itu telah menyemarakkan semangatnya untuk bekerja keras demi kepentingan rakyat khususnya masyarakat Pagoh.

“Kita tahu selama ini semangat BN sememangnya kuat di Parlimen Pagoh, alhamdulillah, saya diberi peluang untuk bertanding pada PRU14 ini. Pengharga-an itu akan saya zahirkan dengan usaha keras untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman Calon-Calon Barisan Nasional (BN) Johor di Ibu Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini semalam.

Ismail yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan negeri adalah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang (kini dikenali sebagai Bukit Kepong) dan bertukar bertanding di kerusi Parlimen pada pilihan raya umum kali ini.

Pada PRU13, Muhyiddin ketika itu bertanding atas tiket Barisan Nasional dan UMNO, mengalahkan calon PAS, Mohamad Rozali.

Sementara itu, Datuk Tan Cher Puk daripada MCA yang dicalonkan semula untuk bertanding kerusi DUN Johor Jaya berkata beliau yakin sokongan masyarakat di kawasan itu kini memihak kepada BN memandangkan wakil rakyat pembangkang sebelum ini gagal melaksanakan tanggungjawab.

“Dalam lima tahun ini, rakyat nampak siapa yang masih bersama mereka setiap hari dan bagaimana pihak di sebelah sana terus hilang selepas pilihan raya dan kemudian muncul semula lepas lima tahun.

“Jadi, melihat kepada ini, saya yakin rakyat telah sedar dan akan menyokong semula BN pada PRU14,” katanya.

Pada PRU13, Tan kalah kepada calon DAP Liow Cai Tung. — Bernama

Advertisement