Anda di sini

Dadah: Lelaki direman dua hari bantu siasatan

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman dua hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Suspek, 25, dari Taman Desa Senadin di sini diperintahkan menjalani reman itu dilokap Balai Polis Pusat Miri mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut keterangan pegawai penyiasat, Sarjan Dayang Fadzillah Ramlee ketika mengemukakan permohonan reman memberitahu sekitar jam 11 pagi, 22 April lalu di tepi sebatang jalan di Tudan Fasa 2 di sini, polis telah menahan dua lelaki untuk tujuan pemeriksaann kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

Ketika pemeriksaan fizikal dilakukan ke atas suspek pertama, polis telah menjumpai satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan-ketulan kristal dipercayai dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat kasar 0.36 gram daripada miliki suspek.

Manakala pemeriksaan badan ke atas suspek kedua, tidak menemui apa-apa yang menyalahi undang.

Barang disyaki dadah kemudian dirampas dan kedua-dua suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri untuk tindakan lanjut.

Polis yang kemudian menjalankan ujian saringan air kencing ke atas dua lelaki terbabit mendapati hanya air kencing suspek pertama menunjukkan kesan positif dadah.

Berikutan itu, dia telah ditangkap mengikut untuk disiasat lanjut mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952

Dalam permohonan lanjutnya, Dayang memberitahu reman selama tiga hari ke atas suspek amat diperlukan untuk membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk merakam percakapan beramaran suspek dan membebaskan dia lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Bagaimanapun, Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie hanya membenarkan reman selama dua hari dan tempoh reman akan tamat pada 25 April ini.

Advertisement