Anda di sini

Canon lancar tiga kamera baharu di bawah siri EOS

Advertisement
 Canon melancarkan tiga kamera baharu iaitu EOS M50, DSLR EOS 1500D dan EOS 3000D.
PENGIMEJAN BAHARU: Canon melancarkan tiga kamera baharu iaitu EOS M50, DSLR EOS 1500D dan EOS 3000D.

KUALA LUMPUR: Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd melancarkan tiga kamera baharu di bawah siri EOS iaitu kamera tanpa cermin (mirrorless) EOS M50, dua kamera DSLR EOS 1500D dan EOS 3000D, serta lampu denyar (flash) Speedlite 470EX-AI.

Produk pengimejan baharu itu menawarkan keseimbangan yang sempurna di antara kualiti pengimejan mengagumkan dan aspek kegunaan terbaik. Ia membuktikan usaha Canon untuk menjangkau lebih ramai pengguna di peringkat asas, pada masa yang sama mengekalkan fokusnya terhadap aspek inovasi dan sofistikasi dalam teknologi pengimejan.

EOS M50 dilengkapi pemproses imej terkini DIGIC 8 yang meningkatkan keupayaan rakaman video 4K, serta menawarkan pengalaman terbaik kepada pengguna ketika merakam dan berkongsi momen-momen hidup yang terindah.

Manakala EOS 1500D dan EOS 3000D adalah kamera mampu milik dan ideal untuk mereka yang baharu hendak berjinak-jinak dalam fotografi. Dengan ISO bermula 100 kepada 6400 dan boleh dipertingkatkan sehingga 12800, yang kemudian digabungkan dengan fungsi rakaman filem HD sepenuhnya, kamera ini berupaya merakam imej dan video yang jelas, serta meminimumkan kadar gangguan dalam rakaman berkenaan.

Bukan itu sahaja, EOS 1500D dan EOS 3000D  ini mempunyai ciri Features Guide yang membantu pengguna meningkatkan teknik mereka melalui cadangan dan tip. Manakala Scene Modes yang merangkumi mode potret, landskap, malam dan makanan membolehkan pengguna mengekspresikan kreativiti dengan mengoptimumkan tetapan rakaman foto mereka.

Canon pada masa sama turut melancarkan Speedlite 470EX-AI flash kamera pintar pertama yang dilengkapi fungsi Auto Intelligent Bounce pertama di dunia. Ia hadir dalam dua mode iaitu automatik sepenuhnya dan semi automatik.

Mode automatik sepenuhnya sesuai untuk mereka yang baharu hendak belajar kerana ia akan mengubah suai sendiri bergantung kepada keadaan sekeliling, seterusnya memberikan iluminasi yang diperlukan tanpa anda perlu memikirkannya.

Manakala mode semi automatik pula boleh digunakan oleh pengguna yang mahir dan separa mahir yang mengutamakan kawalan cahaya, dengan mengubah sudut kedudukan flash. Flash itu kemudian akan mengingat posisi tersebut tanpa mengira bagaimana anda memegangnya nanti.

Advertisement