Anda di sini

Anak Badak bangkit bergaya

Advertisement
Skuad bawah 19 tahun Sabah merakamkan reaksi gembira selepas menang 2-1 ke atas Kuala Lumpur pada saingan Kumpulan A liga Piala Belia di Stadium Penampang pada Ahad.
Skuad bawah 19 tahun Sabah merakamkan reaksi gembira selepas menang 2-1 ke atas Kuala Lumpur pada saingan Kumpulan A liga Piala Belia di Stadium Penampang pada Ahad.

KOTA KINABALU: Sabah berjaya menewaskan Kuala Lumpur menerusi keputusan 2-1 dalam saingan Kumpulan A, Liga Piala Belia 2018 yang berlangsung di Stadium Penampang lewat petang Ahad.

Ketinggalan menerusi jaringan pembukaan perlawanan oleh pemain pelawat Muhammad Faizal Hafiq Omar pada minit ke-25 untuk kedudukan 0-1 dalam separuh masa pertama, anak-anak buah Mohd Aiyyman Shah Johny Abdullah bangkit penuh bergaya untuk dua gol Sabah dalam separuh kedua.

Kegigihan mereka sebaik babak kedua bermula nyata berbaloi menerusi sepakan percuma oleh Mohd Syukri Baharun untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-49, sebelum pemain gantian Mohd Iqhbal Kassim muncul selaku wira dengan menjaringkan gol kemenangan dalam minit pertama masa kecederaan.

Kemenangan itu nyata cukup bermakna untuk mengembalikan keyakinan pasukan bawah 19 tahun Sabah itu selepas tewas berturut-turut dalam dua perlawanan sebelum ini.

Kemenangan itu juga membolehkan Sabah kembali ke kedudukan kedua dalam liga 11 pasukan itu selepas pesaingan utama PKNS FC tewas menerusi jaringan tunggal perlawanan oleh pemain pasukan Penang untuk turun ke kedudukan ketiga dengan 17 mata.

Sabah dengan 18 mata melalui 10 perlawanan selepas mencatat lima kemenangan, seri tiga kali dan kalah dua kali berada empat mata dibelakangan Terengganu FC IV, sambil kedudukan keempat dan kelima masing-masing disandang oleh SSMP-AMP Cougars Under-16 dan Kuala Lumpur yang mengumpul jumlah mata yang sama dengan 16 mata.

Sabah akan memulakan kempen pusingan kedua berhadapan Perak PKNP FC di Stadium Penampang pada 25 April (Rabu) ini.

  • oleh
  • Advertisement