Anda di sini

11 Mei bicara lanjut warga emas ugut dua pekerja syarikat bekalan elektrik

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 11 Mei depan untuk perbicaraan lanjut kes seorang lelaki warga emas yang dituduh melakukan ugutan jenayah terhadap dua pekerja syarikat bekalan elektrik.

Manakala tertuduh diperintahkan dibebas dengan jaminan lanjut RM3,000 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Penetapan tarikh itu dibuat Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie setelah mendapati tertuduh masih mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya terhadap tuduhan tersebut.

Rejin @ Rejen Paii, 68, dari Jalan Jati 2 Fasa 5 Desa Senadin di sini telah dituduh melakukan ugutan jenayah dengan menakut-nakutkan Zamry Mahdi dan Muhammad Nurfazdillah Mohamad menggunakan sebatang penyedok dan sebilah parang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.30 pagi, 5 Mac lalu di rumahnya di Jalan Jati 2, Jalan Jati Utama Desa Senadin Fasa 5 di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor, manakala tertuduh diwakili peguambela Majen Panyog.

Advertisement