Anda di sini

Protes anti-Orban masuki minggu kedua

Advertisement
 Seorang penunjuk perasaan melaungkan slogan anti-Orban ketika menyertai demonstrasi di Budapest, kelmarin. — Gambar Reuters
SATU CABARAN: Seorang penunjuk perasaan melaungkan slogan anti-Orban ketika menyertai demonstrasi di Budapest, kelmarin. — Gambar Reuters

BUDAPEST: Puluhan ribu warga Hungary menunjuk perasaan di Budapest bagi Sabtu kedua berturut-turut untuk membantah pemilihan semula Viktor Orban sebagai perdana menteri.

Orang ramai, yang dianggarkan kira-kira 30,000 oleh jurugambar AFP, berarak di tengah bandar raya ke lokasi perhimpunan di mana penceramah menuntut media awam yang tidak menyokong mana-mana parti.

Selepas gigih berkempen menentang kemasukan pendatang, kemenangan besar Orban, 54, pada 8 April lepas menyaksikan partinya Fidesz memperolehi kira-kira separuh undian.

Namun antara kritikan mengenai keadilan pilihan raya, pemerhati daripada Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah berkata, kempen pilihan raya dicemari media yang berat sebelah.

Sebagai sebahagian daripada reformasi menyeluruh sejak beliau memegang kuasa pada 2010, Orban telah mengubah saluran media awam kepada wadah propaganda kerajaan.

Kebanyakan penunjuk perasaan, kebanyakannya muda, melaung ‘demokrasi’ dan membawa bendera-bendera Hungary dan Kesatuan Eropah.

Penganjur Viktor Gyetvai, 20, memberitahu, protes itu tidak akan mengubah sistem dalam sekelip mata tetapi bertujuan mencetuskan pergerakan sivil bagi mencabar Orban.

“Ini adalah langkah pertama, tanda bahawa ramai warga Hungary mahu hidup dalam demokrasi, dengan institusi bebas, dan media bebas,” kata Gyetvai.

Lebih banyak demonstrasi akan diadakan di bandar-bandar wilayah dalam tempoh beberapa minggu akan datang, katanya.

Pada Sabtu minggu lalu, kira-kira 100,000 penunjuk perasaan mengadakan protes di Budapest beberapa hari selepas kemenangan Orban.

Kemenangan itu memberikan Orban majoriti dua pertiga ketiga berturut-turut dalam parlimen serta kebebasan untuk merangka atau meminda undang-undang sesuka hati bagi tempoh empat tahun akan datang.

Sejak itu Orban telah menunjukkan hasrat untuk meningkatkan lagi usahanya sejak sekian lama untuk menyingkirkan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang ada kaitan dengan bilionair liberal dari Amerika Syarikat, George Soros.

Orban menuduh lelaki berusia 87 tahun yang dilahirkan di Hungary itu berkomplot untuk memusnahkan Eropah menerusi imigresen besar-besaran.

Sebuah akhbar pro-Orban baru-baru ini menerbitkan senarai kira-kira 200 askar upahan Soro” termasuk kakitangan NGO, universiti dan laman sesawang kewartawanan siasatan.

Undian ke atas pakej rang undang-undang ‘Halang Soros’ yang kontroversi dan menyasari NGO kemungkinan besar akan diluluskan terlebih dahulu oleh parlimen selepas ia bersidang pada 8 Mei nanti.

Pakej itu meniru undang-undang serupa di Rusia dan akan mengenakan cukai ke atas NGO yang dibiayai orang asing dan menyokong imigresen haram.

Di bawah cadangan itu, orang asing yang dianggap menyokong pencari suaka boleh dihalang daripada memasuki Hungary, kakitangan NGO berdepan dengan kemungkinan dilarang daripada mendekati kawasan sempadan, dan organisasi akan menjalani ujian keselamatan.

Rangkaian Yayasan Open Society (OSF) Soros berkata, Jumaat lepas ia sedang menimbang untuk memindahkan pejabatnya dari Budapest, mungkin ke Berlin, jika undang-undang berkenaan diluluskan.

Penganjur perhimpunan pembangkang kelmarin berkata, demonstrasi seterusnya akan berlangsung di luar parlimen pada 8 Mei.

“Sistem ini bukan demokrasi,” kata penceramah utama di rapat umum itu, Peter Marki-Zay, bekas pengundi Fidesz yang menjadi terkenal di seluruh negara pada Februari lalu selepas beliau memenangi pemilihan datuk bandar menentang parti Orban di sebuah bandar raya wilayah.

Barisan anti-Orban bersatu harus dibina dari asas lagi, kata lelaki berusia 45 tahun itu, kerana parti pembangkang sedia tidak dapat memberikan cabaran kepada perdana menteri yang berkuasa itu. — AFP

Advertisement