Anda di sini

Pasaran getah dijangka stabil

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka stabil pada minggu ini berikutan kemungkinan permintaan yang kukuh bagi komoditi itu pada bulan-bulan akan datang, kata seorang peniaga.

Sentimen positif ini telah didorong sebahagian besarnya oleh keuntungan dalam pasaran niaga hadapan serantau getah dan harga minyak mentah yang lebih kukuh.

“Harga getah juga akan bergerak seiring dengan komoditi lain, serta sejajar dengan pasaran niaga hadapan serantau seperti Bursa Komoditi Tokyo dan Bursa Niaga Hadapan Shanghai,” kata peniaga itu.

Beliau menambah pergerakan niaga hadapan pasaran akan mengambil kira antara lain, kebimbangan yang berpunca daripada peningkatan inventori getah, prospek yang tidak menentu akibat pergerakan mata wang dan ketegangan  perdagangan antara China dan Amerika Syarikat.

Untuk minggu yang baharu saja berakhir, pasaran diniagakan kebanyakannya bercampur-campur dalam menjejaki isyarat dari pasaran niaga hadapan getah serantau yang bercampur termasuk pergerakan harga minyak mentah.

Atas dasar Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 meningkat sebanyak 12 sen kepada 546 sen sekilogram daripada 534 sen sekilogram yang direkodkan pada minggu sebelumnya dan lateks pukal turun empat sen kepada RM446.5 sen sekilogram daripada 450.5 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada 5 petang bagi SMR 20, menokok sebanyak 8.0 sen kepada 539.5 sekilogram daripada 531.5 sen sekilogram dan lateks pukal susut 5.5 sen kepada 442 sen sekilogram daripada 447.5 sen sekilogram sebelum ini. — Bernama

Advertisement