Anda di sini

Nilai jualan JBD dijangka cecah RM250j

Advertisement
 Idris Haron (dua kanan) meninjau harga jualan kacang panjang yang dijual di bawah Program Jimat Belanja Dapur (JBD) pada majlis pelancaran program berkenaan peringkat negeri Melaka di Pasar Tani Sungai Udang, semalam. — Gambar Bernama
BERPATUTAN: Idris Haron (dua kanan) meninjau harga jualan kacang panjang yang dijual di bawah Program Jimat Belanja Dapur (JBD) pada majlis pelancaran program berkenaan peringkat negeri Melaka di Pasar Tani Sungai Udang, semalam. — Gambar Bernama

MELAKA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjangkakan nilai jualan menerusi Program Jimat Belanja Dapur (JBD),  yang dianjurkan di seluruh negara mampu mencecah RM250 juta menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA Mansor Omar berkata sehingga kini nilai jualan 27 barangan keperluan mencecah RM30.5 juta dalam tempoh tiga bulan sejak Januari lepas, dan angka berkenaan dijangkakan terus meningkat ekoran sambutan menggalakkan daripada pengguna di seluruh negara.

Beliau berkata menerusi program JBD, barangan terpilih seperti ayam, sayur, barangan runcit dan kawalan, dijual pada potongan antara lima hingga 20 peratus secara terus kepada pengguna.

“Program JBD bukan agenda politik, sebaliknya merupakan antara usaha kerajaan untuk membantu rakyat mengatasi kos sara hidup yang semakin meningkat, selaras dengan pencapaian sebagai negara maju serta memberi nilai penjimatan kepada pengguna.

“Menerusi program ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan peruntukan berjumlah RM50 juta sebagai modal pusingan untuk pelaksanaannya sepanjang tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Jualan JBD peringkat negeri Melaka, di sini semalam.

Pelancaran berkenaan disempurnakanoleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, dan turut dihadiri Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Hasan Abdul Rahman serta Pengarah FAMA negeri Che Samudin Hassan.

Mansor berkata pelaksanaan program JBD itu melibatkan 718 pasar tani, 426 Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR), 110 Agrobazaar Rakyat 1Malaysia (ABR1M), MyFarm (enam) dan ‘My Best Buy’ seluruh negara, manakala di Melaka sebanyak 42 premis jualan termasuk di pasar tani, ABR1M, AKR dan ‘My Best Buy’ turut-serta melaksanakannya.

Beliau berkata barangan yang dijual menerusi program JBD dapat dijual pada harga lebih rendah berbanding medium pasaran lain kerana ia merupakan hasil tani yang diperoleh secara terus daripada petani  tanpa melalui orang tengah.

“Program ini secara tidak langsung juga turut membantu petani untuk memasarkan hasil pertanian mereka dan membimbing mereka menjadi usahawan tani yang berjaya,” katanya. — Bernama

Advertisement