Anda di sini

WINGS Air buka semula dua laluan ke Sabah

Advertisement
 Kapten Redi Irawan (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Lim Ban Hong  pada Majlis Sambutan Penerbangan Pertama Wings Air dari Medan ke Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam kelmarin. — Gambar Bernama
CENDERAHATi: Kapten Redi Irawan (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Lim Ban Hong pada Majlis Sambutan Penerbangan Pertama Wings Air dari Medan ke Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam kelmarin. — Gambar Bernama

MELAKA: Anak  syarikat Lion Group Indonesia, Wings Air akan membuka semula dua laluan penerbangan dari Indonesia ke Sabah yang dijangka pada akhir April ini.

Pengarah Operasi Wings Air Kapten Redi Irawan berkata pembukaan semula dua laluan itu, iaitu dari Papan ke Tawau dan dari Tarakan  ke Kota  Kinabalu dibuat selepas kajian semula dilakukan dan melihat terdapat permintaan yang tinggi bagi kedua-dua laluan tersebut.

Katanya pihaknya turut menjangka terdapat beberapa laluan lain dari Indonesia ke Malaysia akan dibuka dalam masa beberapa tahun akan datang.

“Dua laluan ini merupakan antara destinasi penerbangan yang kita tawarkan selepas laluan baharu, dari Medan ke Melaka memulakan operasi hari ini (kelmarin).

“Sehingga kini, Wings Air telah menawarkan sebanyak 113 destinasi penerbangan dari Indonesia ke Malaysia termasuk laluan dari Medan ke Melaka dan jumlahnya dijangka akan bertambah,” katanya kepada pemberita kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Penerbangan Pertama Wings Air dari Medan ke Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini.

Pesawat ATR 72-500 dari Medan yang membawa seramai 30 penumpang itu tiba di LTAM pada jam 6.30 petang dan disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Roslan Ibrahim.

Turut hadir Exco Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa negeri, Datuk Lim Ban Hong.

Redi berkata pembukaan laluan Medan-Melaka itu dilihat akan memberi impak positif kepada kedua-dua negara terutamanya dalam sektor pelancongan dan perdagangan selain mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

Katanya Wings Air merupakan syarikat penerbangan tambang murah yang menawarkan destinasi jarak dekat dan kini beroperasi dengan 57 pesawat ATR 72-500 / 600.

Beliau berkata dua laluan dari Pontianak (Indonesia)-Kuching dan Pontianak-Miri telah dibuka, masing-masing pada Jan dan Mac lepas.

Sementara itu, Lim berkata laluan Medan-Melaka yang mengambil masa satu jam 30 minit itu akan beroperasi dari LTAM setiap hari dengan kekerapan sekali sehari menggunakan pesawat jenis ATR 72 dengan kapasiti sebanyak 72 penumpang pada satu-satu masa.

Katanya masa penerbangan pada 4.30 petang waktu Malaysia dari Medan sebelum bertolak semula pada 6.30 petang dari LTAM. — Bernama

Advertisement