Anda di sini

USNS tiba di Tawau untuk misi kedua

Advertisement
PEGAWAI Memerintah 26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Kukusan Kolonel Hassan Embong menyambut baik kehadiran rombongan kapal USNS Brunswick ke Tawau.
PEGAWAI Memerintah 26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Kukusan Kolonel Hassan Embong menyambut baik kehadiran rombongan kapal USNS Brunswick ke Tawau.

TAWAU: Kapal pengangkut ekpedisi cepat milik tentera laut Amerika Syarikat, USNS Brunswick tiba di Pelabuhan Tawau kira-kira jam 9 pagi pada Sabtu, dengan membawa Misi Perkongsian Kerjasama Pasifik 2018 (PP18) yang kedua diadakan di negara ini.

Misi pertama PP18 di negara ini baharu sahaja selesai dijalankan pada 16 sehingga 20 April di Pelabuhan Klang menerusi kapal hospital terbesar di dunia yang juga milik tentera laut Amerika Syarikat, iaitu USNS Mercy.

Utusan Borneo difahamkan, USNS Brunswick membawa muatan seramai 140 staf, tentera dan petugas awam termasuk pasukan perubatan dari Amerika Syarikat, Britain dan Australia.

Mereka dijadual berada di sini selama 14 hari serta melakukan kerja-kerja amal seperti kejuruteraan sivil, perubatan dan khidmat sosial dengan penduduk setempat bersama Angkatan Tentera Malaysia, termasuk persembahan pancaragam.

Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Memerintah 26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Kukusan Kolonel Hassan Embong turut hadir menyambut ketibaan rombongan kapal terbabit di Pelabuhan Tawau.

Ketika ditemui media, Hassan yang juga Pengarah Program Eksesais PP18 di Tawau berkata pihaknya mengalu-alukan kehadiran rombongan kapal dari Amerika Syarikat itu ke daerah ini.

“Kita harap mereka selesa berada di sini, sekaligus meningkatkan hubungan negara kita dengan Amerika Syarikat dan negara lain yang turut serta dalam rombongan ini.

“Program ini salah satu kerjasama strategik (diplomasi) hubungan dua hala antara negara kita dengan negara-negara terlibat, dan diharap objektif program dapat dicapai,” katanya.

HASSAN, Bretz, Peter dan Penolong Ketua Staf J7 Markas Angkatan Bersama Laksamana Pertama Chan Peng Cheong merakamkan gambar berlatar-belakangkan kapal USNS Brunswick di Pelabuhan Tawau.
HASSAN, Bretz, Peter dan Penolong Ketua Staf J7 Markas Angkatan Bersama Laksamana Pertama Chan Peng Cheong merakamkan gambar berlatar-belakangkan kapal USNS Brunswick di Pelabuhan Tawau.

Komandan PP18 Kapten David Bretz berkata komitmen program itu adalah kali ke-13 diadakan semenjak dimulakan selepas berlakunya tragedi tsunami besar pada 2004.

“Salah satu tujuan utama kehadiran kita di sini adalah untuk meningkatkan tahap kerjasama antara negara ini dengan bantuan Amerika Syarikat berkaitan pengurusan bencana (alam).

“Secara tidak langsung, kita akan lebih bersiap-sedia untuk menjalin kerjasama jika berlaku bencana alam atau kejadian yang tidak diingini (tanpa mengira masa),” katanya.

Bretz berkata kerjasama itu perlu, mengambil-kira faktor 'wujudnya' risiko bencana alam berlaku berikutan kedudukan geografi daerah ini yang turut berada di kawasan Lingkaran Api (Pasifik).

Timbalan Komandan PP18 Kapten Peter Olivia berkata pihaknya amat teruja untuk menemui komuniti Tawau, lebih-lebih lagi dengan kejayaan PP18 yang dijalankan oleh USNS Mercy di Klang.

“Selepas Tawau, kami akan bertolak ke Singapura sebelum menyambung perjalanan ke Thailand, namun sebelum ini, kami sudah singgah di Indonesia dan Kepulauan Palau, " katanya.

KAPAL USNS Brunswick tiba di Pelabuhan Tawau kira-kira jam 9 pagi pada Sabtu.
KAPAL USNS Brunswick tiba di Pelabuhan Tawau kira-kira jam 9 pagi pada Sabtu.
  • oleh
  • Advertisement