Anda di sini

Seorang hilang, tujuh selamat feri karam di sebauh

Advertisement
 Keadaan feri yang terbalik di Sungai Pandan, Sebauh.
KARAM: Keadaan feri yang terbalik di Sungai Pandan, Sebauh.

BINTULU: Seorang hilang dikhuatiri lemas, manakala tujuh terselamat selepas sebuah feri yang menyeberangi Sungai Pandan, Sebauh tiba-tiba karam lalu terbalik dalam satu insiden sekitar jam 12.30 tengah malam kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Mohamad Meramit berkata, maklumat awal mengesahkan mangsa yang hilang dikenali sebagai Mohd Dzuhiqmi Delphen, 23, berasal dari Kampung Burung, Jalan Bakawali, Lahad Datu, Sabah.

Menurut beliau, usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan.

“Semasa kejadian, feri terbabit yang turut membawa empat lori sarat muatan sawit dikatakan baharu sahaja bertolak dari pangkalan feri Ladang Sungai Pandan menuju ke Jeti Sungai Pandan, sebelum karam lalu terbalik di tengah sungai,” jelasnya.

Keempat-empat lori terbabit turut terjunam ke dalam sungai sebelum tenggelam.
Mujurlah katanya, tujuh penumpang  berjaya berenang ke tebing sungai untuk menyelamatkan diri.

Jelasnya, feri yang terbalik itu kemudiannya ditambat di tebing sungai berhampiran jeti ladang berkenaan sementara menunggu tindakan selanjutnya.

“Usaha pencarian pada hari pertama yang diketuai Pegawai Bomba Wyllie Senin dijalankan secara ‘surface searching’ yang menyasarkan sehingga 50 meter dari kawasan feri dilaporkan karam,” ujarnya.

Menurutnya lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa akan diperluaskan ke kawasan hulu dan hilir sungai terbabit.

Advertisement