Anda di sini

RM5j laksana Smart Infra ICT UMS rapat jurang digital kalangan siswa-siswi

Advertisement
 Salleh (kanan) menyempunakan gimik pelancaran Projek Smart Infrastruktur ICT UMS.
KEPERLUAN ZAMAN DIGITAL: Salleh (kanan) menyempunakan gimik pelancaran Projek Smart Infrastruktur ICT UMS.

KOTA KINABALU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyalurkan dana permulaan sebanyak RM5 juta bagi pelaksanaan projek Smart Infrastruktur ICT Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menterinya Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak berkata, usaha itu seiring dengan matlamat kerajaan dalam menambah baik infrastruktur ICT di Sabah terutamanya di UMS sekali gus memastikan elemen kelestarian tercapai.

“Projek ini akan merangkumi pemasangan rangkaian fiber menghubungkan bangunan dan premis selain pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi-lokasi strategik yang bertujuan memantau keselamatan di dalam kampus UMS.
“Rangkaian fiber dan komponen keselamatan yang akan dibangunkan akan mampu membantu pihak pentadbiran UMS merealisasikan pelaksanaan Kampus Pintar (Smart Eco UMS4.0) bagi menjamin persekitaran selamat dalam kalangan warga UMS serta menjadi platform berpusat pemprosesan insiden dan analisis data,” katanya ketika melancarkan Projek Smart Infrastruktur ICT UMS, pada Jumaat.

Jelasnya lagi, projek berkenaan akan melibatkan perkongsian strategik antara beberapa pihak berkepentingan seperti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), beberapa syarikat pembekal serta UMS dan KKMM sendiri.

Katanya, usaha itu juga secara tidak langsung menjadikan UMS sebagai rujukan dalam pembangunan teknologi digital, selain mempertingkatkan keberkesanan penyampaian maklumat seterusnya mempromosikan universiti itu sebagai destinasi utama pengajian tinggi di negara ini.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata, pelaksanaan projek yang melibatkan kerjasama pintar itu akan merapatkan jurang digital dalam kalangan siswa-siswi universiti awam serta melengkapkan diri mereka dengan keperluan zaman digital.

Katanya, Ia juga dilihat selari dengan pelan Tindakan Strategi Jangka Panjang Sabah 2016-2035 atau dikenali sebagai Sabah LEAP yang mana pembangunan pendidikan dan ICT termaktub dalam polisi pembangunan sosial negeri.

“Menyedari hakikat ini, UMS selaku peneraju kecemerlangan pendidikan dan pembangunan sosioekonomi di Sabah mengambil inisiatif untuk mewujudkan komuniti pintar universiti dengan melaksanakan Pembangunan Kampus Pintar atau Smart Eco-UMS 4.0.

“Projek ini akan dilaksanakan melalui pembangunan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi dalam mendukung teras perkhidmatan universiti dari aspek pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan,” jelasnya.

Advertisement