Anda di sini

Rakyat perlu keluar mengundi pada 9 Mei

Advertisement
Yahya (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta, turut kelihatan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Bruno Vun (dua kanan).
Yahya (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta, turut kelihatan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Bruno Vun (dua kanan).

PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin menyarankan penduduk di daerah mahupun negeri ini supaya keluar mengundi pada 9 Mei bagi membolehkan mereka memilih kerajaan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan ini berkata, Hari Kelepasan Am tambahan yang diberikan itu diharap tidak disia-siakan oleh rakyat.

“Jangan pula menganggap hari itu sebagai hari untuk cuti berehat dan melarikan diri dari kawasan di mana, mereka seharusnya mengundi. Cuti ini diberikan supaya rakyat mempunyai peluang memilih kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Rakyat perlu turun mengundi pada hari berkenaan,” katanya ketika ditanya tentang saranan terhadap rakyat supaya keluar mengundi pada 9 Mei.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Program Sinda-IT peringkat daerah Putatan, di sini pada Sabtu.

Bagi agensi swasta pula, Yahya berharap pihak majikan akan memberi kelonggaran kepada kakitangan masing-masing supaya turun mengundi kerana keadaan ini hanya berlaku lima tahun sekali.

Jika bekerja sekalipun, kebenaran harus diberikan untuk kakitangan keluar mengundi.

Kemudian ditanya tentang harapannya terhadap Manifesto BN Sabah, Yahya berkata, manifesto itu lebih kurang sama dengan manifesto peringkat negara namun, penekanan terhadap isu-isu yang relevan di Sabah lebih ditekankan dalam Manifesto BN Sabah yang bakal diumumkan pada Rabu.

Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas ini berkata, Manifesto BN Negeri akan memberi fokus kepada hak-hak Sabah, peluang pekerjaan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan Sabah.

“Kita ada manifesto peringkat Parlimen dan DUN masing-masing. Seperti kawasan Putatan, saya mahukan lebih banyak sekolah, jalan raya serta kolej swasta ditubuhkan di sini demi memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

 
  • oleh
  • Advertisement