Anda di sini

Kekal pentadbiran mantap

Advertisement
 Abang Johari (tiga kanan) dan Juma’ani bersama (dari kiri) Dr Rundi, bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Uggah dan Morshidi bersama tetamu lain pada Majlis Perasmian Program Sejiwa Senada di Saratok, semalam.
DEKATI RAKYAT: Abang Johari (tiga kanan) dan Juma’ani bersama (dari kiri) Dr Rundi, bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Uggah dan Morshidi bersama tetamu lain pada Majlis Perasmian Program Sejiwa Senada di Saratok, semalam.

SARATOK: Menampilkan muka baharu pada pilihan raya adalah strategi untuk memastikan kesinambungan pentadbiran negeri yang mampan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pilihan raya juga adalah masa sesuai untuk memberi peluang kepada golongan berkebolehan menjadi pemimpin.

“Jika tidak masa ini, bila lagi? Oleh itu, kita berharap pemimpin terdahulu dapat bersikap terbuka dalam perkara ini, sekiranya mereka tidak dicalonkan pada PRU14 ini.

“Ini amat penting untuk memastikan negeri ini tidak ketandusan pemimpin baharu pada masa hadapan, terutama yang berkemampuan dalam memperjuangkan hak bangsa dan negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Program Sejiwa Senada yang dihadiri kira-kira 6,000 penduduk di Dataran Saratok di sini, semalam.

Justeru, Abang Johari berkata, Barisan Nasional (BN) Negeri akan menampilkan beberapa muka baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini agar pentadbiran negeri terus diterajui pemimpin berkualiti, berwawasan dan memiliki semangat juang tinggi untuk membangunkan Sarawak.

Sementara itu, Ketua Menteri berkata Saratok, Betong dan kawasan sekitarnya bakal menikmati pembangunan pesat menerusi aktiviti agropolitan.

Untuk itu katanya, kerajaan negeri akan memberi tumpuan untuk menaik taraf dan meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan tersebut.

“Kita telah meluluskan peruntukan berjumlah RM90 juta untuk membina jambatan Sungai Krian yang bakal menghubungkan jalan di pesisir pantai dari Samarahan ke kawasan Kabong, RM90 juta lagi untuk menaik taraf Jalan Kupang-Bajau serta RM87 juta untuk menyelesaikan masalah air di kawasan Kabong, Sessang dan Saratok dalam tempoh terdekat.

“Kita berharap dengan usaha ini akan memberi impak positif kepada masyarakat di sini dan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat,” katanya.

Turut hadir isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Dato Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan  Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah serta tetamu kehormat lain.

  • oleh
  • Advertisement