Anda di sini

Isu komuniti Cina di Semenanjung berbeza dengan Sarawak: Dr Sim

Advertisement
 Dr Sim (depan, tujuh kiri) dan Lo (depan, enam kiri) serta ahli SUPP lain bersama wakil penerima geran di Kuching, semalam.
BANTUAN: Dr Sim (depan, tujuh kiri) dan Lo (depan, enam kiri) serta ahli SUPP lain bersama wakil penerima geran di Kuching, semalam.

KUCHING: Isu yang dihadapi komuniti Cina di Semenanjung Malaysia tidak harus disamakan dengan komuniti Cina di Sarawak.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, ini kerana di Sarawak komuniti Cina lebih gembira dan berpuas hati dengan kerajaan.

“Di Sarawak pada tahun lepas kerajaan negeri kita telah menyumbang sebanyak RM7 juta kepada sekolah persendirian Cina.

“Malahan kerajaan telah menyumbang dana berjuta kepada gereja dan kuil di negeri ini, tetapi di Pulau Pinang dan Selangor, adakah mereka menyumbang bantuan sedemikian kepada sekolah Cina?” ujarnya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis penyerahan cek geran kerajaan kepada 35 persatuan yang dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang di Ibu Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini, semalam.

Dr Sim yang juga Presiden SUPP berkata, disebabkan itu komuniti Cina di sana tidak berpuas hati yang berbeza dengan Sarawak, semua rakyatnya termasuk Cina hidup dalam keadaan aman dan gembira.

“Maka itu pada saya jika komuniti Cina di sana tidak gembira, itu isu mereka tetapi asalkan kita di sini bersatu dan gembira,” tegasnya.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan rakyat di negeri ini termasuk masyarakat Cina agar kekal bersatu dan bersama jika mahu Sarawak terus berkuasa mendapatkan haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tambahnya, Sarawak sudah terlalu baik sejak 1964 berkongsi segala kekayaan sumbernya sehingga sekolah, hospital, jalannya lebih teruk dari Semenanjung Malaysia.

“Saya selalu memberitahu rakyat, pada pilihan raya kali ini kita mengundi bukan sekadar untuk tempatan atau Parlimen masing-masing tetapi undi itu untuk mendapatkan kembali hak Sarawak.

“Kembalikan hak kita dalam minyak dan gas serta hak lain mengikut MA63, maka itu kita perlu kuat dan cukup kerusi parlimen pada pilihan raya ini,” katanya.

Dr Sim berkata, jika kerusi BN tidak cukup dimenangi pada PRU14 nanti ia pasti akan mengekang usaha mendapatkan kembali hak Sarawak yang diperjuangkan.

Advertisement