Anda di sini

FAS menarik nafas lega

Advertisement
 Posa (lima kiri) menerima cek replika daripada Choa sambil disaksikan Raymond (dua kanan), Low (empat kanan) dan Razali (dua kiri) di Kuching semalam.
TERIMALAH: Posa (lima kiri) menerima cek replika daripada Choa sambil disaksikan Raymond (dua kanan), Low (empat kanan) dan Razali (dua kiri) di Kuching semalam.

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menarik nafas lega setelah menerima suntikan tajaan berjumlah RM1 juta daripada syarikat korporat, Press Metal Bintulu Sdn Bhd.

Majlis penyerahan tajaan disempurnakan oleh Presiden FAS, Datuk Posa Majais dan Pengurus Besar Kumpulan Press Metal Bintulu Sdn Bhd, Choa Wei Keong di King of Croc’s Lounge, Stadium Negeri, Petra Jaya di sini semalam.

Menurut Posa, FAS mengucapkan jutaan terima kasih kepada Press Metal Bintulu Sdn Bhd di atas kesudian menaja pasukan bola sepak Sarawak untuk saingan Liga Malaysia pada tahun ini.

“Saya mewakili seluruh Exco, ahli-ahli gabungan, pasukan bola sepak Sarawak, pengurusan kejurulatihan dan pemain-pemain ingin menyatakan betapa kami amat menghargai sumbangan daripada Press Metal,” katanya pada sidang media selepas penyerahan tajaan itu di sini semalam.

Menurut beliau, FAS amat mengalu-alukan tajaan daripada mana-mana pihak bagi menampung kos pengurusan pasukan bola sepak Sarawak yang amat tinggi.

Menurutnya, tanpa tajaan daripada syarikat seperti Press Metal, Sarawak Energy Bhd (SEB) dan Lea Sports Centre (LEA Sports) amat sukar untuk FAS mengurus pasukan bola sepak Sarawak ketika ini.

Sementara itu, Choa pada sidang media sama memberitahu pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan FAS selama tiga tahun sehingga 2020.

“Kita berharap tajaan ini dapat melonjakkan moral pasukan bola sepak Sarawak agar dapat muncul juara Liga Premier 2018 dan seterusnya kembali ke Liga Super tahun depan.

“Kita juga berharap tajaan ini dapat mengurangkan beban ditanggung FAS agar pembangunan bola sepak di negeri ini dapat terus kekal dan berjalan dengan lancar,” jelasnya.

Menurut Choa, pihaknya juga berjanji menyediakan ganjaran tambahan sekiranya Sarawak berjaya muncul juara Liga Premier 2018 dan bersaing semula dalam Liga Super musim depan.

Hadir sama Timbalan Pengurus Besar Press Metal Low Kwong Fei, Pengarah Urusan LEA Sports Centre, Raymond Sim dan Naib Presiden FAS, Razali Dolhan.

  • oleh
  • Advertisement