Anda di sini

Dua kenderaan rempuh 12 motosikal berhenti di bawah jambatan

Advertisement
 Sekumpulan penunggang dan pembonceng motosikal berdepan detik cemas apabila 12 buah motosikal yang diletakkan di bawah jambatan ketika berteduh semasa hujan terperosok dibawah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah Perodua Axia di Kilometer 258 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke utara kira-kira 2 petang semalam. — Gambar Bernama
TERPEROSOK: Sekumpulan penunggang dan pembonceng motosikal berdepan detik cemas apabila 12 buah motosikal yang diletakkan di bawah jambatan ketika berteduh semasa hujan terperosok dibawah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah Perodua Axia di Kilometer 258 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke utara kira-kira 2 petang semalam. — Gambar Bernama

SEREMBAN: Sekumpulan penunggang dan pembonceng motosikal berdepan detik cemas apabila motosikal yang diletakkan di bawah jambatan ketika berteduh daripada hujan dirempuh dua kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke utara.

Dalam kejadian jam 2 petang di kilometer 258, berhampiran susur keluar Port Dickson itu, 12 motosikal mengalami kerosakan teruk selepas terperosok di bawah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah Perodua Axia.

Ketua Polis Daerah Seremban ASP Thiew Hock Poh dalam kenyataan di sini berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca daripada kenderaan Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berusia 23 tahun yang hilang kawalan.

“Semasa ingin menukar laluan dari lorong tengah ke lorong kanan, kereta itu telah melanggar lopak air dan mula hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan sebelah kanan. Ini menyebabkan  kenderaan itu berada dalam keadaan melintang di tengah jalan antara lorong tengah dan kanan.

“Sebuah kenderaan jenis Volkswagen yang datang dari arah sama, bagaimanapun tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri Perodua Axia dan menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabas ke lorong paling kiri serta merempuh 12 motosikal yang sedang berhenti berteduh di lorong kecemasan di bawah jambatan,” katanya.

Ekoran itu, Thiew berkata seorang wanita yang juga pembonceng motosikal mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk menerima rawatan.

Sementara itu, menurut  saksi kemalangan tersebut berlaku dengan amat pantas serta semua penunggang dan pembonceng motosikal terlibat sangat bernasib baik kerana berteduh jauh di belakang pembahagi jalan. — Bernama

Advertisement