Anda di sini

Affin sasarkan 60,000 pemegang Kad Kredit-I dalam tahun pertama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Affin Bank Bhd, Affin Islamic Bank Bhd mahu mendapatkan 60,000 pemegang Kad Kredit-i Affin Islamic dalam tahun pertama selepas pelancarannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic, Nazlee Khalifah berkata ini adalah kad kredit Islam yang pertama kerana ramai para pelanggannya tidak memiliki kad kredit bercirikan Islam.

“Kami merancang untuk membuat pemasaran kepada pelanggan bank kami dahulu, terutama yang terlibat dalam pinjaman perumahan, sewa beli dan pinjaman Amanah Saham Nasional Bhd,” katanya  kepada pemberita pada majlis pelancaran di sini semalam.

Bank itu semalam buat pertama kali, memperkenalkan Kad Kredit-i Affin Islamic, hasil kerjasama dengan syarikat penyelesaian industri pembayaran antarabangsa, Mastercard.

“Pihak bank telah mengeluarkan lebih daripada 600,000 kad debit serta kredit dan strateginya adalah untuk menjalankan perniagaan kad kredit konvensional seiring dengan kad kredit Islam,” kata Nazlee.

Kad Kredit-i Affin Islamic merupakan respons kepada peningkatan permintaan orang ramai ke atas bank berkenaan khususnya terhadap produk yang patuh Syariah.

“Sebagai salah satu daripada bank-bank Islam yang terkemuka di Malaysia, kami telah proaktif dalam memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang mencari produk kewangan yang berasaskan Syariah,” katanya.

Nazlee berkata kad kredit itu menjadi testimoni bahawa produk-produk Syariah adalah bersifat inovatif dan mampu menarik minat pemegang kad.

Kad Kredit-i Affin Islamic boleh ditransaksikan di lebih daripada 30 juta lokasi seluruh dunia di mana pemegang kad boleh menikmati faedah-faedah dan keistimewaan dalam perjalanan, makan-makan, kehidupan sihat dan amal. — Bernama

Advertisement