Anda di sini

Lelaki tidak mengaku rogol gadis bawah umur

Advertisement

MIRI: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam terhadap dua tuduhan merogol seorang gadis bawah umur, tiga tahun lepas.

Muhammad Daniel Abdullah didakwa atas dua tuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebat, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapi.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didakwa merogol seorang gadis bawah umur berusia 14 tahun dan sembilan bulan (semasa kejadian) sebanyak dua kali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 2 pagi dan 4 pagi, 11 Mac 2015 di sebuah rumah pekerja pembalakan di Marudi.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah serta minta dibicara lanjut.

Pihak pendakwaan turut menawarkan jaminan tunai RM20,000 berserta dua penjamin tempatan kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh memohon agar jumlah wang jaminan dikurangkan memandangkan dia tidak mempunyai pekerjaan.

Hakim Steve Ritikos kemudian menetapkan 17 Mei depan untuk pengurusan kes dan perbicaraan pula ditetapkan pada 18 hingga 21 September tahun ini.

Sementara itu, tertuduh diperintahkan dibebas dengan jaminan tunai RM15,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Mahkamah turut mengingatkan tertuduh supaya mendapatkan khidmat peguambela untuk mewakilinya dalam perbicaraan kes kelak.

Advertisement