Anda di sini

Dua lelaki disyaki curi kenderaan direman

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret semalam memerintahkan dua lelaki yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam satu kes curi kenderaan supaya direman tiga hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Md. Syafique Md. Hilmie setelah meluluskan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Sarjan Karam Singh Karnal Singh dari Balai Polis Pusat Miri.

Terdahulu dalam permohonannya, Karam memberitahu pada 21 Jun 2010, seorang lelaki telah membuat laporan polis berhubung kehilangan sebuah kenderaan miliknya.

Dalam aduannya, pengadu, 33, mendakwa sekitar jam 2.10 pagi hari sama, beliau mendapati sebuah kenderaan miliknya yang diletakkan dalam keadaan berkunci di garaj hadapan rumah telah hilang, dipercayai dicuri.

Kerugian dianggarkan bernilai lebih RM160,000.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 11 pagi, 19 April lalu, polis berjaya menahan dua lelaki di pekarangan Balai Polis Pusat Miri kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Dalam permohonan lanjutnya Karam memberitahu, reman empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas kedua-dua suspek yang berusia 33 dan 30 tahun dari Sibu amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Tambahan hasil maklumat yang diterima daripada pembeli kereta (curi) itu memaklumkan dia telah membeli kenderaan tersebut daripada dua suspek terbabit.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman tiga hari ke atas kedua-dua suspek dan tempoh reman akan tamat pada 23 April ini.

Advertisement