Anda di sini

Pembangunan terus dilaksana

Advertisement
 Fadillah (kanan) memberi penerangan mengenai projek jalan dan jambatan dari Matang  ke Stapok, Batu Kawa kepada Abang Johari (dua kiri) dan Masing (tiga kiri). — Gambar Chimon Upon
PEMBANGUNAN RANCAK: Fadillah (kanan) memberi penerangan mengenai projek jalan dan jambatan dari Matang ke Stapok, Batu Kawa kepada Abang Johari (dua kiri) dan Masing (tiga kiri). — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluluskan pembinaan satu lagi jalan baharu dari bulatan Stapok ke Sungai Maong terus ke Segedup.

Pengumuman tersebut dibuat ketika berucap merasmikan pembukaan jalan baharu empat lorong dan jambatan dari Matang terus ke Stapok, Batu Kawa di sini, semalam.

Pada majlis itu, Abang Johari turut meluluskan naik taraf jalan dari Courts, Matang ke persimpangan lampu isyarat Taman Malihah di sini kepada empat lorong.

Turut diluluskan permohonan bagi mengiktiraf Kampung Gita Baru dan Sungai Maong di sini sebagai tanah rizab komunal.

“Saya yakin semua yang kita rancang ini akan dapat dilaksanakan kerana kita ada pemimpin yang dapat merancang pembangunan dengan baik.

“Kita akan terus merancang pembangunan bukan sahaja di kawasan Matang, Petra Jaya ini tetapi juga kawasan-kawasan lain di negeri ini,” ujarnya.

Pada majlis itu, Abang Johari turut menamakan jambatan tersebut Jambatan Tan Sri Sulaiman Daud sebagai menghargai jasa Allahyarham.

Allahyarham katanya, telah banyak menyumbang kepada masyarakat di sini terutama dalam bidang pendidikan sehingga kewujudan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Kota Samarahan.

Bercakap mengenai projek tersebut, Abang Johari berkata, ia dijanjikan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan telah ditunaikan sebelum PRU14.

Beliau juga percaya, kemudahan itu akan memberi manfaat kepada masyarakat dalam banyak aspek termasuk dari segi pembangunan ekonomi.

Sementara itu, mengulas mengenai projek jalan serta jambatan tersebut, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia akan menjadi laluan alternatif untuk pengguna di kawasan berkenaan.

Projek itu katanya, mula dibina pada April 2015 dengan kos RM145 juta dan merangkumi pembinaan jalan sepanjang 4.4 kilometer dan jambatan sepanjang 320 meter.

“Perkembangan pesat khasnya di Matang ini telah menyebabkan jalan kita tidak lagi mampu menampung pertambahan pengguna.

“Justeru, kita berharap jalan dan jambatan baharu ini akan dapat mengurangkan kesesakan terutama di Jalan Satok-Kulas dan Bulatan Datuk Temenggong Abang Kipali Abang Akip menuju ke Petra Jaya dan pusat bandar,” katanya.

Turut hadir, isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datu Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Tan Sri Datuk Amar James Masing, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian serta yang lain.

  • oleh
  • Advertisement