Anda di sini

Norah umum tidak pertahankan kerusi Tanjong Manis

Advertisement
 

KUCHING: Penyandang kerusi Parlimen Tanjong Manis Datuk Norah Abdul Rahman (gambar) hari ini mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi tersebut atas sebab kesihatan.

Ahli Parlimen dua penggal sejak 2008 itu berkata keputusan itu telah dimaklumkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

"(Saya) memohon untuk direhatkan daripada PRU akan datang di atas sebab kesihatan. Jika ada salah dan silap dari saya atau terkasar bahasa, maaf zahir dan batin. Saya berdoa semoga BN SARAWAK tetap berjaya dengan kemenangan cemerlang dan bergaya," katanya menerusi laman media sosial.

Beliau menggesa rakyat di Parlimen Tanjong Manis agar meneruskan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Beliau turut meminta rakyat mengukuhkan sokongan padu kepada Ketua Menteri dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita akan turun padang beramai ramai memastikan kemenangan besar di Parlimen Tanjong Manis untuk calon baru. Rakyat Parlimen Tanjong Manis buatlah saya bangga kita terima calon baru menganti saya dengan baik. HIDUP BN! HIDUP PBB! MENANG! MENANG! MENANG! ," ujarnya.

Norah, 59, daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memenangi kerusi tersebut tanpa bertanding pada 2008, manakala pada PRU 2013 beliau menang dalam pertandingan dengan calon PAS.

Parlimen Tanjong Manis merangkumi dua kawasan Dewan Undangan Negeri - Kuala Rajang yang diwakili Datu Len Talif Salleh dan Semop Abdullah Saidol.

Norah merupakan anak bekas Yang di-Pertua Negeri Allahyarham Tun Abdul Rahman Yakub.

Advertisement