Anda di sini

Seorang masih hilang

Advertisement
 Kapal MP Perdana Frontier dan MP Nautica Aleesya berusaha membantu memadamkan api yang membakar kapal MV Geo Technical awal pagi semalam.
PADAM: Kapal MP Perdana Frontier dan MP Nautica Aleesya berusaha membantu memadamkan api yang membakar kapal MV Geo Technical awal pagi semalam.

MIRI: Seramai 38 kru kapal penggerudi MV Geo Technical berjaya diselamatkan dengan dua daripada mereka mengalami kecederaan, manakala seorang lagi masih hilang dalam kejadian kebakaran di kapal itu, awal pagi semalam.

Seramai 39 kru berada di atas kapal tersebut yang dimiliki oleh Asian Geos Sdn Bhd berpangkalan di Kuala Lumpur dengan 33 daripada mereka ialah warga tempatan yang majoritinya dari Semenanjung Malaysia, lima warga Indonesia dan seorang warga Thailand.

Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada letupan di bilik enjin kapal berkenaan.  

“Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 3 pagi itu, dipercayai kesemua anak kapal terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri,” demikian menurut Pengarah Maritim Daerah Miri (DM 13) Kapten Md Fauzi Othman pada sidang media di sini, semalam.

 Fauzi (tengah) dan pegawainya menunjukkan gambar-gambar kapal MV Geo Technical yang terbakar di perairan Miri awal pagi semalam dan usaha memadamkannya. Turut kelihatan Sebastian (kanan).
TUNJUK: Fauzi (tengah) dan pegawainya menunjukkan gambar-gambar kapal MV Geo Technical yang terbakar di perairan Miri awal pagi semalam dan usaha memadamkannya. Turut kelihatan Sebastian (kanan).

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting, yang turut diberikan taklimat mengenai perkembangan terkini kes berkenaan oleh Fauzi.  

Fauzi berkata, dua mangsa yang cedera ialah Muhammad Hafiz Ismail, 36, jurutera kedua kapal tersebut yang mengalami kelecuran sebanyak 20 peratus di bahagian badan dan Khairul Isma Ismail, 35, mengalami luka di bahagian dahi, bibir dan muka.

Menurut beliau, kesemua anak kapal yang terjun ke laut berjaya diselamatkan oleh dua kapal, MP Perdana Frontier dan MP Nautica Aleesya yang berada berdekatan.

“Sementara kedua-dua mangsa telah diberikan rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Miri pada jam 7.40 pagi (semalam) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Beliau memberitahu, Pusat Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini menerima panggilan kecemasan pada jam 3.15 pagi semalam dan terus mengerahkan bot Penggalang 23 bersama enam anggota ke tempat kejadian.

“Bot Penggalang 23 tiba di lokasi kapal terbakar itu pada jam 3.45 pagi dan mendapati kapal penggerudi sedang marak terbakar pada kedudukan kira-kira lima batu nautika dari Kuala Baram.

“Kebakaran kapal berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8 pagi semalam hasil bantuan dua kapal lain yang ada kemudahan memadam, iaitu MP Perdana Frontier dan MP Nautica Aleesya menggunakan alat pemadam api utama jenis air.

“Namun, masih ada saki-baki api di permukaan yang dipercayai berpunca daripada tumpahan minyak kapal tersebut,” katanya.

APMM DM 13 katanya, sudahpun mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 4 pagi semalam untuk mencari kru ke-39 kapal tersebut.

“Kita tidak dapatkan pastikan sama ada mangsa turut terjun ke laut bersama yang lain atau masih berada di atas kapal berkenaan.

“Apapun kita amat berharap dapat menemui mangsa dengan selamat sama ada di atas kapal tersebut ataupun di laut,” ujar beliau.

Sehingga jam 2 petang semalam, APMM DM 13 masih berusaha untuk mencari dan menyelamatkan mangsa yang hilang dengan KM Siakap telah digerak atur dalam SAR itu dengan dibantu oleh tiga kapal swasta lain iaitu Kapal HISYAM 8, NEOPETRO 18 dan JATI 8.

Sementara itu, Petronas dalam kenyataannya petang semalam berkata, pihaknya bekerjasama erat dengan pihak APMM dan pihak berkuasa relevan dalam SAR tersebut dan memberi sokongan sepenuhnya kepada mereka yang terjejas dalam insiden itu.

  • oleh
  • Advertisement