Anda di sini

Wanita kuat Sarawak perlu sokongan

 Aksi Husnul ketika mengangkat sebuah kereta Kelisa di hadapan pintu utama Sarawak Plaza di Kuching semalam.
HEBAT: Aksi Husnul ketika mengangkat sebuah kereta Kelisa di hadapan pintu utama Sarawak Plaza di Kuching semalam.

KUCHING: Wanita kuat Sarawak, Husnul Khatimah Wajidi memohon sumbangan orang ramai untuk menyokong perjalanannya bertanding dalam Static Monsters World Championship di Gold Coast, Australia pada 20 Mei nanti.

Wanita berusia 39 tahun itu, merupakan satu-satunya atlet dari Malaysia yang melayakkan diri ke pertandingan tersebut pada Oktober tahun lepas dalam kategori berat badan di bawah 72 kilogram.

“Adalah menjadi impian saya untuk bertanding dengan atlet-atlet antarabangsa yang terbaik dan mendapat ranking dunia,” katanya yang juga merupakan atlet berdaftar di bawah Persatuan Sukan Ekstrem Sarawak.

Husnul yang juga merupakan ibu tunggal mempunyai sijil tahap satu ‘Crossfit’ dan telah menjalani latihan di Crossfit Kuching sejak 2013.

Semalam, beliau yang mampu melakukan angkatan seberat 160 kilogram telah mempamerkan kekuatan di khalayak ramai apabila melakukan 28 kali angkatan dalam seminit ke atas sebuah kereta Kelisa, di hadapan pintu utama Sarawak Plaza di sini.

Menurut Husnul ketika ditemu bual, angkatannya menggunakan ‘axle bar’ itu adalah antara 10 hingga 15 peratus daripada berat sebenar kereta Kelisa tersebut, yang dianggarkan seberat 1,200 kilogram.

Justeru, persembahannya mengangkat kereta Kelisa itu juga adalah bertujuan mengutip dana daripada orang ramai untuk membiayai kos penyertaannya dalam kejohanan dunia tersebut.

Husnul memerlukan sekurang-kurangnya AS$2,500 untuk bertolak ke Gold Coast bagi menyertai Static Monsters World Championship.

Beliau juga telah menjalankan kempen kutipan dana daripada orang ramai secara dalam talian menerusi https://gogetfunding.com/help-me-the-first-malaysian-woman-to-rank-world...