Anda di sini

Teruskan Usaha Belajar Dan Bangunkan Diri

Advertisement

Pengajaran kepimpinan daripada pejuang Samurai.

Dalam salah satu program pementoran ‘Wanita Dalam Kepimpinan’ anjuran TalentCorp, penceramah utama, Datuk Seri Idris Jala, mengajukan soalan kepada sidang hadirin.

“MENGAPA PEJUANG SAMURAI MERUPAKAN LAWAN TEMPUR YANG PALING SUKAR UNTUK DITEWASKAN?”

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa sebabnya ialah kerana pejuang Samurai sanggup mati dalam pertempuran. Agak mustahil sekali untuk membunuh seseorang yang berani mati.

Pada ketika itu juga, saya sedar saya perlu membuat kajian tentang pejuang Samurai dan dan gaya kepimpinan mereka. Dalam usaha menelusuri kisah pejuang Samurai, saya terjumpa beberapa cerita menakjubkan tentang kepimpinan dan kehidupan mereka.

Berikut adalah empat wawasan utama yang saya peroleh.

#1. Kekalahan bukan pilihan

Pada kurun ke-16, Tuan Echigo menerangkan pendekatan berani mati Samurai dalam pertempuran.

“Ketentuan nasib adalah di Syurga, perisai di dada, kejayaan di kaki. Melangkah ke medan pertempuran dengan keyakinan yang utuh untuk menang dan anda akan kembali tanpa secalit luka langsung.

“Masuk bertempur dengan penuh keazaman untuk terkorban dan anda akan terus hidup; jika anda berharap dapat bertahan dalam pertempuran, sudah tentu maut pengakhirannya. Apabila anda meninggalkan rumah dengan keazaman untuk tidak menatapnya lagi, anda akan pulang dengan selamat; tatkala anda terfikir akan pulang, anda tidak akan kembali.

“Mungkin tidak salah untuk anda rasa dunia ini kuat dipengaruhi perubahan, namun pejuang mesti tidak hanyut dalam pemikiran sedemikian, kerana nasibnya sudah lama ditentukan.”

Jika anda meneliti pemimpin dan bakat terhebat di dunia, kesemua mereka percaya bahawa kekalahan bukan pilihan yang ada pada mereka.

Meredith Grey, pakar bedah dalam siri Grey’s Anatomy, menambah, “Kekalahan bukan pilihan; bukan untuk pakar bedah. Kami tidak akan sesekali beranjak dari meja bedah sehingga helaan nafas terakhir. Kami tidak mudah gentar. Kami tidak mudah tersentak. Kami tidak akan berpaling tadah. Sudah tentu kami tidak akan menyerah kalah, sama sekali tidak di tempat kerja.”

“… Semasa menjalankan kerja, kami perlu percaya kami tiada pilihan untuk menyerah kalah. Tidak kira betapa teruknya keadaan pesakit, mereka masih ada harapan. Biar sekalipun apabila harapan kami tunduk kepada takdir dan realiti, ia cuma bermakna kami kalah dalam pertempuran hari ini, bukannya perang keesokan hari.” (Musim 5, Episod 19 – Sweet Surrender / Nikmat Menyerah)

Kita tahu jalan menuju kejayaan penuh dengan onak duri. Tetapi jika kita benar-benar percaya bahawa suatu hari nanti kita akan berjaya dan menang, maka kita akan cepat-cepat sapu habuk debu lalu bangkit dan bekerja keras untuk meraih kejayaan.

Dengan menyematkan dalam hati bahawa kekalahan bukan pilihan, kita akan lebih mudah bertindak dan berusaha tanpa mengenal penat lelah untuk mencapai matlamat kita.

Kegagalan bukan kekalahan. Ia adalah kekalahan apabila kita menyerah. Kekalahan bermakna kita tidak mahu menghadapi satu lagi episod kegagalan dan bangkit semula untuk berjuang.

Legenda mengisahkan tentang seorang penakluk Sepanyol bernama Hernán Cortés yang membakar semua kapal tenteranya apabila bala tenteranya melangkah masuk ke wilayah musuh pada tahun 1519. Dia berbuat sedemikian supaya tentera pimpinannya tiada peluang untuk berundur dan terpaksa berjuang habis-habisan sehingga menang.

Adakah kita mengorbankan semua yang kita ada? Segala-galanya? Atau adakah kita mempunyai pilihan untuk putus harapan apabila rasa malas, letih dan tiada semangat mula melanda?

#2: Kemenangan bermula dari dalam

Stephen Covey, dalam bukunya yang bertajuk ‘7 Tabiat Orang Yang Amat Berkesan’, menulis tentang mencapai kejayaan peribadi sebelum mencapai kejayaan umum. Ini sangat serupa dengan konsep pejuang Samurai.

Sebelum mereka bertempur, mereka perlu menguasai ‘pertempuran dalam diri’. Sun Tzu menulis:

“PEJUANG YANG HEBAT MENANG DAHULU SEBELUM MASUK KE MEDAN PERTEMPURAN, MANAKALA PEJUANG YANG KALAH MASUK BERTEMPUR DAHULU DAN CUBA UNTUK MENANG.”

Ada gelora pertempuran dalam diri kita semua. Kita perlu meleraikan ‘perang’ dalam diri dan menetapkan gambaran kejayaan yang jelas dalam minda dan hati apabila kita melangkah masuk ke medan umum.

Kebanyakan daripada kita tiada visi yang jelas, mahupun destinasi yang ingin dituju. Jika kita tidak mempunyai gambaran yang jelas sebelum masuk ‘gelanggang’, maka tidak kira apa hasilnya sekalipun, kita tidak akan sedar sama ada kita berjaya ataupun tidak.

Setiap seorang mempunyai tujuan, matlamat dan aspirasi yang berlainan. Jika kita tidak dapat menyatakan dengan jelas matlamat diri, kita mungkin tidak sesekali mampu menggapai cita-cita kita. Semuanya bermula dari dalam kita. Adakah kita mempunyai kesedaran diri?

#3: Alasan itu sampah

Seringkali kebanyakan daripada kita mempunyai alasan dan sebab yang kukuh tatkala gagal. Kebanyakannya merupakan sebab yang munasabah.

Bagi pejuang samurai, mereka tidak dibenarkan memberi sebab dan alasan. Jika anda gagal, maksudnya anda gagal. Walaupun alasan kegagalan itu tidak dapat disangkal, ini tidak penting. Anda tetap gagal.

Dan jika kita belajar daripada Samurai, kita akan sedar bahawa dalam tidak memberi alasan, kita beroleh kuasa. Kenapa ini boleh terjadi?

Kerana dalam kebanyakan situasi, sebab-musabab menjadi punca kita memberi alasan untuk terus berperangai tidak semenggah. Jika kita ada sebab untuk gagal, kita tidak akan cuba meneliti kelemahan diri dan perwatakan sendiri. Alasan menafikan kita daripada melihat pada kelemahan diri.

Dalam kebanyakan organisasi, termasuklah yang saya miliki, ramai individu akan menuding jari atas kesilapan yang mereka lakukan. Daripada membetulkan diri, mereka tidak habis-habis merungut bagaimana dunia (ataupun tempat kerja) perlu ditambah baik. Jarang sekali mereka melihat pada diri sendiri!

Cara terbaik untuk mengubah dunia adalah dengan mengubah diri terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, memberi sebab dan alasan merupakan cara yang paling senang untuk menyalahkan orang lain dan tidak pernah melihat pada ‘kelalaian’ diri.

Seperti Samurai, tekadkan dalam hati bahawa setiap kali anda gagal melaksanakan sesuatu atau tersasar daripada target atau matlamat, perkara yang paling utama perlu dilakukan adalah meneliti diri. Buang jauh-jauh keinginan untuk memberi sebab. Tiada alasan.

Lihat betul-betul kelemahan diri dan buat perancangan yang bagus dalam membetulkan diri. Jika kita terus melakukan hal ini hari demi hari, kita pasti bangkit menjadi pemimpin hebat seperti Samurai.

Miyamoto Mushashi, salah seorang Samurai terhandal zaman-berzaman, menulis sebuah buku yang bertajuk The Book of Five Rings (Buku Lima Gelanggang), yang menyatakan dengan jelas tentang kod Samurai Bushido. Salah satu prinsip utama yang digariskan adalah ‘selalu berlaku jujur, terutamanya dengan diri sendiri’. Jadi, jangan beri apa-apa alasan lagi. Hanya kejujuran padu.

#4: Penambahbaikan terus-menerus

Mushashi, yang hidup dari tahun 1584 hingga 1645, menekankan satu lagi perkara dalam bukunya berkenaan kod Samurai Bushido. Dia menjelaskan bahawa satu faktor penting untuk mencapai kejayaan adalah dengan ‘menambah baik kemahiran dan pengetahuan’.

Lebih dari 500 tahun dahulu, Mushashi dan pejuang Samurai sudah betul-betul sedar akan kepentingan memajukan diri secara berterusan.

Kebanyakan daripada kita bersenang-lenang dengan status quo semasa. Kita suka hidup kita berada pada takuk yang sama dan bencikan perubahan. Dalam buku itu, Mushashi menerangkan kepentingan untuk selalu ‘berfikiran terbuka dan mengalu-alukan perkara baharu’.

Kita perlu terus belajar dan berkembang maju. Proses pembelajaran menyakitkan kerana ia memerlukan kita untuk mengubah minda, mengubah kemahiran, mengubah peri laku serta mengubah kebolehan dan kemahiran. Perubahan amat sukar. Namun untuk maju dan menjadi hebat, kita perlu terus berubah dan belajar.

Berapa ramai antara kita yang betul-betul mengambil masa untuk menambah baik diri setiap hari? Jika anda betul-betul mahu menambah baik kemahiran kepimpinan, adakah anda meluangkan masa untuk membaca dan belajar daripada pemimpin lain?

Atau meluangkan 10 minit sehari melayari www.leaderonomics.com/bm.com untuk memperoleh wawasan kepimpinan yang bagus-bagus belaka. Meluangkan masa beberapa minit sehari ini pun mungkin dianggap sebagai tugas yang renyah.

Namun, kita perlu menjadualkan aktiviti sebegini dan konsisten dalam usaha menambah baik diri sama ada dalam kehidupan peribadi, kerjaya dan segenap aspek kehidupan kendiri. Adakah anda menjadualkan masa untuk membuat penambahbaikan secara berterusan dalam hidup?

Akhir kata

Martin Luther pernah berkata:

“MANUSIA SEPERTI UNCANG TEH. MEREKA TIDAK SEDAR AKAN KEKUATAN DIRI SEHINGGALAH TENGGELAM DALAM AIR MENDIDIH.”

Dalam diri kebanyakan daripada kita, ada kuasa dan kekuatan bak Samurai. Lagipun, mereka juga manusia seperti kita. Namun demikian, untuk melepaskan kuasa yang tertanam dalam diri, kita perlu membuangkan tabiat memberi alasan. Kita patut berfokus pada usaha untuk terus maju dan menjadi lebih baik. Mulakan dari dalam dan jangan sesekali biarkan istilah kalah hadir dalam kamus hidup kita.

Roshan Thiran ialah Ketua Pegawai Eksekutif Leaderonomics. Beliau boleh dihubungi melalui [email protected], Facebook dan Twitter.

Sumber

  • oleh
  • Advertisement