Anda di sini

Serangan misil berjaya lumpuh program senjata kimia Syria

Advertisement
 McKenzie mengadakan taklimat mengenai serangan ke atas Syria semasa sidang akhbar di Pentagon, Washington DC kelmarin. —Gambar AFP
PENGUMUMAN: McKenzie mengadakan taklimat mengenai serangan ke atas Syria semasa sidang akhbar di Pentagon, Washington DC kelmarin. —Gambar AFP

WASHINGTON/BEIRUT: Negara kuasa Barat kelmarin berkata serangan misil mereka berjaya melumpuhkan program senjata kimia Syria, tetapi serangan terhad itu dipercayai tidak akan menamatkan kemajuan Presiden Bashar al-Assad dalam perang saudara tujuh tahun di Syria .

Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Britain melancarkan 105 misil pada malam kelmarin sebagai respons kepada serangan gas beracun di Syria seminggu lalu, menyasari tiga kemudahan senjata kimia, meliputi pusat penyelidikan dan pembangunan dalam daerah Barzeh di Damsyik, selain dua pusat dekat Homs.

Serangan bom itu campur tangan terbesar Barat menentang Assad dan sekutu kuasa besarnya Rusia, tetapi ketiga-tiga negara berkata, serangan dihadkan kepada kemudahan senjata kimia Syria, bukan bertujuan menggulingkan Assad atau campur tangan dalam perang saudara.

Serangan udara itu, yang dikecam Damsyik dan sekutunya sebagai tindakan kejam yang menyalahi undang-undang, dijangka tidak akan mengubah hala tuju perang pelbagai pihak yang sudah mengorbankan sekurang-kurangnya setengah juta nyawa.

Syria dan sekutunya juga menjelaskan mereka menganggap serangan itu sekali sahaja dan tidak akan menjejaskan Assad dengan bermakna.

Pegawai kanan dalam pakatan serantau yang menyokong Damsyik memberitahu, tapak yang diserang sebenarnya sudah dikosongkan beberapa hari lalu selepas amaran daripada Rusia.

Presiden AS Donald Trump bagaimanapun menganggap operasi itu berjaya.

Dia mewartakan dalam Twitter: “Misi selesai”, mengikuti contoh bekas presiden George W. Bush, yang diejek ramai apabila menggunakan ungkapan sama pada 2003 untuk menggambarkan serangan AS ke atas Iraq.

“Kami percaya dengan menyerang Barzeh, khususnya, kami menyerang nadi program senjata kimia Syria,” kata Leftenan Jeneral AS Kenneth McKenzie di Pentagon.

Bagaimanapun McKenzie mengakui elemen program itu masih wujud dan dia tidak dapat menjamin Syria tidak akan dapat melancarkan serangan kimia lagi kelak.

Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Nikki Haley berkata pada mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB bahawa Trump memberitahunya, jika Syria menggunakan gas beracun lagi, AS sudah bersiap sedia.

Negara Barat terbabit berkata serangan itu bertujuan untuk mencegah serangan senjata kimia Syria selanjutnya selepas serangan gas beracun yang disyaki dilancarkan di Douma pada 7 April lepas mengorbankan 75 orang.

Mereka menyalahkan kerajaan Assad atas serangan itu.

Berucap pada sidang kemuncak di Peru, Naib Presiden AS Mike Pence menyebut tentang penggunaan sarin di mana Washington mengesahkan ia digunakan bersama klorin.

Sepuluh jam selepas misil dilancarkan, asap masih berkepul dari lima bangunan yang musnah di Pusat Penyelidikan Saintifik Syria di Barzeh, di mana seorang pekerja Syria berkata komponen perubatan dibuat.

Syria mengeluarkan video yang menunjukkan sisa-sisa sebuah makmal penyelidikan yang terkena serangan bom, dan juga Assad yang tiba di tempat kerja seperti biasa, dengan kapsyen “Pagi kecekalan”.

Lewat kelmarin waktu Syria, satu letupan besar kedengaran dalam sebuah kawasan yang dikuasai kerajaan Syria di wilayah luar bandar ke selatan Aleppo, menurut pemantau perang yang berpangkalan di Britain, Observatori Hak Asasi Manusia Syria.

Observatori itu berkata punca letupan tidak diketahui, mahupun sasarannya.

Di Sydney, Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull menggesa Rusia untuk berhenti berpura-pura bahawa Syria bukan dalang di sebalik serangan kimia ke atas Douma dan menggunakan pengaruhnya untuk memaksa kerajaan Assad memusnahkan senjata kimianya. — Reuters

Advertisement