Anda di sini

Sarawak bakal melakar sejarah

Advertisement
 Posa (tiga kiri) dan Tony bertukar dokumen pada majlis menandatangani MoU di Stadium Negeri, Petra Jaya di Kuching petang kelmarin.
MOU: Posa (tiga kiri) dan Tony bertukar dokumen pada majlis menandatangani MoU di Stadium Negeri, Petra Jaya di Kuching petang kelmarin.

KUCHING: Sejarah bakal tercatat dalam arena bola sepak Sarawak selepas kelab bola sepak profesional dari Australia, Perth Glory FC bersetuju menjadikan stadium di sini sebagai venue perlawanan mereka dalam saingan Liga Australia (A-League).

Ini berikutan kelab berpangkalan di Perth, Australia itu bersetuju menjalinkan kerjasama jangka panjang dengan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang menyaksikan mereka mengadakan jelajah pra-musim di sini termasuk dua perlawanan persahabatan dengan skuad Sarawak.

Memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak dimeterai kelmarin dengan FAS diwakili Presidennya, Datuk Posa Majais manakala Perth Glory FC diwakili Penasihat Kelab, Tony Hughes.

Pada sidang media itu, Tony memberitahu pihaknya begitu teruja untuk menjalinkan kerjasama dua hala dengan FAS dalam pelbagai perkara.

“Bagi Perth Glory FC, saya melahirkan rasa sangat gembira menerima jemputan Datuk Posa bagi mengadakan jelajah pramusim di Sarawak.

“Kita tidak sabar mengadakan dua perlawanan di Kuching. Kita masih belum menetapkan tarikh perlawanan namun dijangka diadakan pada 3 hingga 9 Ogos akan datang.

“Sejarah juga akan tercatat di mana julung kalinya perlawanan A-League dimainkan di luar Australia menggunakan stadium di Sarawak,” katanya sambil menambah tarikh dan venue perlawanan akan dimaklumkan kemudian.

Menurut Tony, pelbagai program diadakan sepanjang jelajah pra-musim di Sarawak antaranya simposium bola sepak, perkongsian strategi pemasaran, media sosial dan mengadakan klinik bola sepak.

Katanya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perth Glory juga menyampaikan ucapan semasa jelajah nanti.

“Kita berharap dapat membina kumpulan penyokong di sini. Kita mahu penyokong Perth Glory berasa sebahagian daripada Sarawak dan penyokong Sarawak menjadi sebahagian penyokong Perth Glory,” katanya.

Bagi Posa, MoU dengan Perth Glory FC membuktikan keseriusan FAS menaikkan mutu bola sepak di Sarawak.

Ini kerana kerjasama itu merangkumi pelbagai aspek mencakupi program pembangunan pemain remaja, pengurusan kelab dan pemasaran.

“Kita juga akan menggunakan jelajah itu nanti mencari pemain-pemain baharu berpotensi untuk diserapkan dalam skuad Sarawak,” jelasnya.

Mengenai venue perlawanan A-League, beliau berkata pihaknya mungkin akan menggunakan Stadium Negeri, Petra Jaya namun ia bergantung dengan kelulusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sarawak - Ian Andrew Gillan pula berkata MoU dengan Perth Glory itu membuka peluang kepada FAS menimba pengalaman dan memperolehi ilmu tentang pengurusan bola sepak moden.

Hadir sama Naib Presiden FAS Razali Dolhan, Pengurus Skuad Sarawak Awang Mahyan Awang Mohamed dan Pengarah Urusan LEA Sports Centre, Raymond Sim.

  • oleh
  • Advertisement