Anda di sini

Pusat Latihan Talent Outreach dibuka di Siburan

Snowdan bersama tetamu kehormat lain melakukan simbolik pelancaran program Talent Outreach ISN di Kompleks Sukan Padawan, Siburan.
Snowdan bersama tetamu kehormat lain melakukan simbolik pelancaran program Talent Outreach ISN di Kompleks Sukan Padawan, Siburan.

KUCHING: Institut Sukan Negara (ISN) kini menjelajah ke zon timur negara bagi melancarkan Pusat Latihan Talent Outreach kedua, di Kompleks Sukan Padawan di Siburan.

Objektif utama pelancaran pusat latihan itu adalah untuk memperluaskan pendedahan latihan sukan olahraga pada peringkat awal kepada bakat-bakat muda dari kawasan berdekatan seperti di daerah Siburan, Padawan dan bahagian Serian dengan menggunakan khidmat jurulatih bertauliah yang menitikberatkan aplikasi sains sukan dan perubatan sukan.

Di samping itu, ia mampu meningkatkan peluang peserta yang berbakat dengan pendedahan latihan secara sistematik pada peringkat awal supaya bakat tidak tercicir.

Selain itu, Program Talent Outreach itu juga memainkan peranan untuk memperkenalkan aspek sains dan perubatan sukan dalam pembentukan dan pembangunan atlet di peringkat awal.

Bagi pusat latihan di Siburan, sukan olahraga (jarak sederhana) menjadi pilihan dimana ia dikendalikan jurulatih, Abang Sapani Abang Sarbini yang berpengalaman luas dalam sukan olahraga.

Beliau pernah menjadi jurulatih olahraga pada Sukma Sarawak, jurulatih olahraga bagi Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Sarawak dan juga jurulatih kebangsaan dalam Kejohanan Little Athletics di Perth, Australia.

Setakat ini, seramai 25 peserta mengesahkan penyertaan dan sekiranya mendapat sambutan hangat melebihi 50 peserta, ISN akan menambah tenaga jurulatih agar objektif program dapat direalisasikan khususnya dalam memperluaskan pendedahan dan penglibatan sukan di kawasan luar bandar yang kurang mendapat pendedahan sukan.

Pelancaran Pusat Latihan Talent Outreach di Siburan dirasmikan oleh Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan hari ini dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Mohd Khairi Zawi.