Anda di sini

Manfaat MRP ikut tujuan permohonan - Gerawat

Advertisement
Gerawat menyampaikan cek kepada Petrus Lasong (dua kanan) mewakili gereja BEM on The Rock dan Persatuan Lun Bawang Sarawak.
Gerawat menyampaikan cek kepada Petrus Lasong (dua kanan) mewakili gereja BEM on The Rock dan Persatuan Lun Bawang Sarawak.

MIRI: Penerima geran projek kecil luar bandar (MRP) diingat untuk menggunakan peruntukan diterima dengan sepenuhnya untuk projek yang dipohon, atau permohonan pada masa hadapan mungkin tidak akan dipertimbang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, setiap geran MRP dilulus dan diberikan oleh kerajaan untuk projek tertentu yang memanfaatkan komuniti atau ahli persatuan di kawasan tersebut.

“Justeru, penerima mesti memastikan projek tersebut dilaksanakan selain memberi laporan perkembangan dan kejayaan projek kepada ADUN.

“Sekiranya penerima MRP gagal melaksana dan menyiapkan projek, kita mungkin tidak dapat mempertimbang permohonan peruntukan pada masa hadapan,” katanya berucap pada majlis ringkas penyampaian geran MRP di Pusat Khidmat ADUN Mulu di sini, hari ini.

Sejumlah RM503,600 geran MRP dalam bentuk cek disampaikan kepada 42 penerima terdiri daripada persatuan, serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Gerawat merangkap Timbalan Speaker berkata, wang MRP tidak sewajarnya disimpan dalam akaun organisasi untuk kegunaan lain selain tujuan permohonan itu diluluskan.

“Saya menerima beberapa permohonan MRP, namun kita tidak dapat memenuhi semua permohonan berikutan dana yang terhad. Namun kita akan pertimbangkan projek yang menjadi keutamaan.”

Beliau menambah, projek besar yang memerlukan peruntukan besar akan disalurkan melalui agensi dan kementerian kerajaan berkaitan.
 

  • oleh
  • Advertisement