Anda di sini

Geng pecah rumah tumpas, enam lelaki ditahan

KUCHING:Polis berjaya menumpaskan ‘Gang Sarim’ yang terlibat dalam beberapa jenayah pecah rumah dengan tertangkapnya enam lelaki dalam tiga serbuan di Taman Malihah dekat sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata polis menyerbu sebuah rumah di Sungai Tengah Kolong, Jalan Matang dekat sini, pada jam 11 pagi dan menahan seorang lelaki berusia 48 tahun.

Beliau menambah, penahanan suspek pertama membawa kepada penangkapan empat lagi lelaki berusia 19, 20, 26 dan 28 tahun di sebuah rumah di Taman Malihah pada jam 1 petang.

Pasukan serbuan itu kemudiannya menahan seorang lagi suspek, juga lelaki berusia 17 tahun di sebuah rumah lain dalam kawasan sama pada jam 1.15 petang hari yang sama.

“Berdasarkan siasatan, kesemua enam suspek mengaku terlibat dalam enam jenayah pecah rumah di Taman Malihah dengan suspek utama masih bebas dikenali sebagai Sarim dan polis turut merampas beberapa barangan.

“Suspek diberi tugas berbeza secara bergilir-gilir sama ada melakukan pecah rumah atau melakukan rondaan penjagaan ketika yang lain melakukan jenayah tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau menambah, antara barangan yang dirampas ialah lima set televisyen selepas kesemua suspek gagal membuktikan kewujudan barangan elektrik berkenaan serta sebuah motosikal berikutan semasa penangkapan suspek pertama didapati nombor casisnya telah dirosakkan.

Oleh itu, polis akan mengkaji setiap laporan pecah rumah bagi lima set televisyen yang ditemui sementara pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak akan melakukan pemeriksaan serta siasatan lanjut.

Aidil memberitahu, empat daripada suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah, kesemua suspek direman seperti diarahkan oleh Mahkamah Majistret bagi  membolehkan siasatan dilakukan.

“Polis kini menggiatkan lagi pencarian ke atas suspek utama yang masih bebas,” katanya.