Anda di sini

Dua lelaki tempatan dipercayai pemburu haram ditahan

 Kedua-dua suspek ditahan oleh pasukan 13RAMD semasa melakukan pengawalan sempadan Sarawak-Kalimantan Barat.
DITAHAN: Kedua-dua suspek ditahan oleh pasukan 13RAMD semasa melakukan pengawalan sempadan Sarawak-Kalimantan Barat.

SERIKIN: Operasi mengawal sempadan Sarawak-Kalimantan Barat oleh Pasukan Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13RAMD) diketuai Leftenan Kolonel Ismahizan Ishak lewat malam kelmarin membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan dipercayai pemburu haram.

Kedua-dua lelaki berkenaan ditangkap di Simpang Kandaie sekitar jam 12.20 malam bersama dua laras senapang buatan sendiri yang disimpan di dalam guni berserta peluru.

Kedua-dua suspek telah dibawa ke Balai Polis Daerah Lundu untuk tindakan selanjut oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu pada Sabtu lepas, pasukan itu telah menahan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika melakukan sekatan jalan raya di pintu sempadan Serikin-Jagoi Babang.

Semasa ditahan pada jam 11.40 malam, PATI berkenaan memiliki lima bilah senjata tajam yang disimpan di dalam  guni.

PATI berkenaan telah dibawa ke Balai Polis Daerah Bau dan Pos Imigresen di Serikin untuk tindakan lanjut.